PETALING JAYA: Polis menahan dua remaja lelaki selepas sebuah video tular memaparkan aksi berbahaya mereka menunggang motosikal di Jalan Tun Razak, dekat sini.
Remaja berusia 18 dan 15 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar Sungai Buloh, Selangor, kira-kira pukul 2 hingga 2.30 pagi tadi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Januari lalu antara pukul 3.30 pagi hingga 4 pagi.
Menurutnya, tular dalam video berdurasi 14 saat selepas dimuat naik di laman Facebook jenterapejuang.my memaparkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC Fi melakukan aksi mengangkat roda hadapan (wheelie).
Katanya, pembonceng motosikal terbabit turut bertindak berbahaya dengan menyeretkan kepalanya di atas permukaan jalan raya.
“Bertindak atas maklumat awam, penunggang motosikal berusia 18 tahun dan rakannya berjaya ditahan manakala motosikal yang digunakan turut dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN










