ALOR SETAR: Gara-gara melakukan aksi mengangkat tayar hadapan ketika menunggang motosikal bersama isteri dan anaknya, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu ditahan pada pukul 3.40 petang tadi di pekarangan Balai Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
“Tangkapan ini adalah susulan daripada penularan satu video berdurasi 17 saat di Facebook yang memaparkan aksi seorang lelaki melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau wheelie ketika membawa dua pembonceng iaitu isteri dan anaknya.
“Aksi tersebut dipercayai dilakukan di Jalan Lebuhraya Darul Aman berhadapan Masjid Zahir. Hasil siasatan mendapati penunggang terbabit dipercayai melakukan aksi bahaya itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 Mac lepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai dalam perjalanan menuju ke Jalan Pegawai yang terletak berhampiran lokasi kejadian untuk makan bersama keluarga.
“Penunggang tersebut membawa isteri yang berusia 25 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia empat tahun. Tindakan itu bukan sahaja berbahaya kepada mereka malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.
Tambahnya, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 dipercayai digunakan suspek ketika melakukan aksi itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya. – UTUSAN










