PERMATANG PAUH : Seramai 14 penunggang motosikal dipercayai ‘mat rempit’ diberkas dalam Op Samseng Jalanan di Kilometer (KM) 131, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sama Gagah, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi yang berlangsung selama empat jam bermula tengah malam tadi itu, polis turut menyita sebanyak 20 buah motosikal atas pelbagai kesalahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, secara keseluruhannya, seramai 60 penunggang motosikal telah ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi berkenaan.
“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 14 daripada mereka (penunggang motosikal) ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tangkapan di bawah seksyen itu dibuat kerana didapati mereka terlibat dalam beberapa aksi berbahaya termasuk berlumba (secara) berkumpulan, melawan arus, membuat aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain seperti ‘superman’, menunduk serta membawa kenderaan dengan kelajuan tinggi,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, kesemua individu yang ditahan itu berusia dalam lingkungan umur antara 20 hingga 30 tahun.
Sementara itu, Helmi memberitahu, sebanyak 100 keping saman atas pelbagai kesalahan jalan raya juga telah dikeluarkan ke atas pemilik motosikal terbabit sepanjang operasi tersebut dijalankan.
“Operasi yang dijalankan pada bulan Ramadan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan aktiviti lumba haram dalam kalangan penunggang motosikal yang gemar mempamerkan aksi berbahaya (ketika di jalan raya),” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, seramai 57 anggota termasuk tiga pegawai dari bahagian
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bukit Aman turut-serta dalam operasi selain pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS).-UTUSAN










