Angkat motosikal lepasi pembahagi jalan elak pihak berkuasa  - Utusan Malaysia

Angkat motosikal lepasi pembahagi jalan elak pihak berkuasa 

TANGKAP layar video yang tular di laman sosial yang menunjukkan penunggang motosikal mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang, awal pagi tadi. - SUMBER MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Terdesak untuk menyelamatkan diri daripada pihak berkuasa, sekumpulan penunggang motosikal sanggup mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan.

Gelagat beberapa penunggang motosikal itu antara yang dapat disaksikan dalam Ops Bersepadu: Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini awal pagi tadi.

Operasi bermula pukul 2 pagi hingga 5 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Barat Daya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri bagi mencegah gejala samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 50 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan serta bagi siasatan lanjut.


SEBAHAGIAN motosikal yang disita pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu: Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Ujar beliau, sebanyak 144 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk mengubah spesifikasi asal motosikal selain lesen memandu tamat tempoh turut dikeluarkan dalam operasi tersebut.

“Tindakan  diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 108 APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran.

“Selain membendung samseng jalanan, operasi ini juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Bayan Baru dekat sini untuk siasatan lanjut.

Tegas beliau, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya