Pelombong emas tidak mengaku rompak wanita China RM2.15 juta

Pelombong emas tidak mengaku rompak wanita China RM2.15 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pelombong emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM2.15 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Al-Farouq Mat Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.

Mengikut pertuduhan, dia bersama tiga individu lain yang telah dituduh didakwa merompak seorang suri rumah, Chen Kexue, 31, di sebuah vila di Bukit Damansara pada 21 Julai 2025, pukul 10.10 malam.

Rompakan itu melibatkan seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai RM100,000 serta lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2,146,000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Subri Hashim memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan lapor diri satu bulan sekali di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mohamad Al-Farouq yang diwakili peguam bela, Bazlinda Bahrin memohon diberikan jaminan lebih rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga termasuk sembilan anak yang masih bersekolah selain tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dipohon dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Mac ini.

Pada Ogos dan Oktober tahun lalu, Mohd Syaqir Mohd Ami, 30; Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, dan Syed Ali Imran Alqudri Syed Zulkefeli @ Syed Zulalqudri, 42, mengaku tidak bersalah selepas didakwa terhadap kesalahan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN