KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang warga Pakistan dengan bersenjatakan parang, awal bulan ini.
Tertuduh, P. Sangara Lingam, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih bebas merompak seorang pekerja klinik, Sajid Ahmed Abbasi, 35, menggunakan parang dan mengambil sebentuk cincin milik mangsa di sebuah klinik di Bangsar di sini, pada pukul 2 petang, 4 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh diperintahkan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Tripatjit Singh yang mewakili Sangara Lingam merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung dua orang anak yang sedang belajar dan mengalami penyakit usus.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 berserta syarat-syarat tambahan lain dan kes disebut semula pada 17 April ini. – UTUSAN










