Apa yang penting adalah cara saya membimbing suami mengenali Islam - Sabronzo

Apa yang penting adalah cara saya membimbing suami mengenali Islam – Sabronzo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo atau nama penuhnya Wan Sabrina Wan Rusli, menyifatkan kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Ryan Fieret, berada dalam keadaan baik dan penuh ketenangan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kata Sabronzo, 30, dia tidak mahu isu agama dan rumah tangganya menjadi tekanan kepada sesiapa.

Malah, dia sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada kehidupan baharu mereka.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya anggap ini sebagai hal peribadi dan tak mahu memberi tekanan kepada sesiapa.

“Agama asal suami pun menekankan keamanan dan ketenangan.Yang paling penting adalah cara saya membimbingnya dalam mengenali Islam.

“Selagi hidup kami dipenuhi kebaikan dan kasih sayang, insya-Allah semuanya akan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran single dan muzik video terbaharu, Question, hari ini.

Berkongsi mengenai pengalamannya sebagai isteri, Sabronzo berkata tidak banyak perubahan berlaku selepas berkahwin namun dia lebih menghargai momen kehidupan kini yang dirasakan lebih damai.

“Alhamdulillah, saya bahagia kerana dipertemukan dengan lelaki yang terbaik. Kami masing-masing masih memberi fokus kepada kerjaya.

“Cuma sekarang bila saya pulang ke rumah, saya ada teman untuk berbual. Itu buat saya rasa lebih dihargai,” ujarnya.

Selain itu, Sabronzo turut menepis dakwaan bahawa perkahwinan dikhuatiri menjejaskan komitmennya bersama Dolla.

Sebaliknya, kata Sabronzo, dia menyifatkan suaminya sebagai tulang belakang yang memberi dorongan besar dalam kerjayanya.

“Saya tak rasa perkahwinan ini menjadi halangan. Malah saya rasa lebih bersemangat untuk terus maju bersama Dolla.

“Suami pun selalu beri sokongan kerana kami berada dalam bidang sama,” katanya.

Sabronzo berkongsi gambar perkahwinannya di media sosial pada 29 September lalu, sekali gus mengesahkan berita mengenai majlis resepsi mereka yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 25 September.

Difahamkan pasangan itu bernikah dua minggu lebih awal sebelum diraikan dalam majlis penuh bermakna yang turut dihadiri rakan-rakan selebriti termasuk anggota Dolla sendiri.

Hubungan Sabronzo dan Ryan mula menjadi perhatian sekitar Mei lalu selepas mereka saling berbalas komen di media sosial.

Kedua-duanya semakin rapat selepas bekerjasama dalam sebuah acara awal tahun ini.

Ryan merupakan DJ berasal dari Belanda dan salah seorang anggota kumpulan muzik elektronik terkenal, Dash Berlin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN