PETALING JAYA: Sekretariat ASEAN perlu tampil mempertahankan Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A. Rangsi Kitiyansap yang kini tular di media sosial.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kementerian Luar juga perlu mengambil tindakan melalui saluran diplomatik bagi menangani tuduhan tersebut.
Katanya, kenyataan Kitiyansap yang melabel Anwar sebagai ‘musuh dalam selimut ASEAN’ adalah satu tuduhan yang berat, kasar dan melampau selain tidak wajar dilemparkan terhadap seorang pemimpin negara anggota.
“Tuduhan berat sebegini tidak boleh dipandang ringan. Maruah seorang Perdana Menteri perlu dijaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, tular di media sosial rakaman wawancara Kitiyansap yang antara lain mendakwa Anwar menggunakan perjanjian damai Thailand–Kemboja untuk mengangkat imej dirinya sebagai Pengerusi ASEAN.
Berdasarkan terjemahan wawancara tersebut, Kitiyansap turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa perjanjian damai itu telah membuka ruang kepada Amerika Syarikat (AS) untuk memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
Beliau juga mendakwa perjanjian tersebut digabungkan dengan usaha sama perdagangan yang melibatkan cukai tarif dan sumber nadir bumi (REE) antara negara ASEAN dan AS.
Sementara itu, dua Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) turut mendesak Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab tuduhan yang tular itu. -UTUSAN










