KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu segera menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat teknologi masa kini, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, AI memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pendidikan dan tenaga kerja di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, penerapan teknologi tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati agar nilai kemanusiaan dalam proses pembelajaran tidak diketepikan.
“Kita perlu memahami bagaimana sistem ini dapat disesuaikan dan dihubungkan dengan perubahan teknologi yang sedang berlaku.
“Kecerdasan buatan ini masih dalam proses pembangunan, kerana ia belum sampai ke tahap akhir dan kita belum tahu ke mana hala tujunya,” katanya ketika berucap dalam forum Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini hari ini.
Khairy berkata, teknologi AI kini bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan negara.
“AI boleh membantu guru dalam menyediakan pengajaran yang disesuaikan dengan tahap pelajar.
“Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran berbeza. Ada yang visual, ada yang praktikal dan ada yang lebih baik melalui pengalaman. Dengan AI, pendekatan ini boleh disesuaikan secara individu,” jelasnya.
Tambah beliau, selain memudahkan penilaian dan tugasan, AI juga boleh menghasilkan soalan, menilai prestasi dan membantu guru mengurus masa dengan lebih baik.
“Namun yang paling penting, kita mesti memastikan teknologi tidak menggantikan peranan guru sebagai pembimbing. AI ialah alat bantu, bukan pengganti manusia,” tegasnya. -UTUSAN










