Kami pilih tenang, hidup ini bukan untuk puaskan hati manusia - Amira Othman - Utusan Malaysia

Kami pilih tenang, hidup ini bukan untuk puaskan hati manusia – Amira Othman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, menegaskan, dia dan suami, pelakon popular Fattah Amin, enggan melayan sebarang kata-kata negatif yang dilemparkan segelintir pihak berhubung hubungan serta pernikahan mereka.

Menurut Amira, dia dan Fattah memilih untuk hidup tenang selain memberi tumpuan kepada perkara yang positif sahaja.

“Kami tak baca komen negatif di media sosial. Bagi saya, itu pendapat masing-masing dan tak semua orang akan suka. Yang penting, kami tak buat jahat dengan sesiapa dan tak dengki dengan orang lain.

“Malah kami doakan supaya mereka yang tak gembira akan turut diberi kebahagiaan. Kami tak terlalu ambil pusing tentang komen luar, sebab kami hanya mahu hidup dengan aman dan damai.

“Hidup ini bukan untuk puaskan hati manusia. Kami ada urusan lain, dan kami ingin hidup tenang tanpa perlu melayan perkara yang tak perlu,”katanya.

Pasangan itu ditemui Utusan Malaysia di majlis resepsi mereka di Pusat Konvensyen Melawati yang berlangsung meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat-handai semalam.

Mengulas lanjut mengenai majlis resepsinya bersama Fattah, Amira berkata, dia bersyukur kerana segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan sejak hari pertama mereka diijab kabul.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Walaupun agak penat kerana majlis diadakan berturut-turut, tapi sebenarnya rasa lebih seronok daripada letih.

“Saya anggap semua ini rezeki, dikelilingi oleh orang yang baik-baik yang datang meraikan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Fattah berkata, dia dan isterinya itu turut merancang mengadakan sebuah lagi majlis khas buat para peminat sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan sejak awal perhubungan mereka.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai respons mereka apabila peminat melabel majlis perkahwinan mereka sebagai ‘wedding of the year’, Fattah melahirkan rasa syukur.

“Kami gembira apabila orang cakap begitu. Sebenarnya kami hanya mahu berikan yang terbaik untuk keluarga dan tetamu yang hadir. Yang penting semua orang gembira,” katanya.

Majlis resepsi Fattah dan Amira semalam menyaksikan pasangan sehati sejiwa ini menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini.

Majlis tersebut juga telah dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aina Abdul serta artis tanah seberang, Chakra Khan.

Sebelum ini, Fattah dan Amira selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan penuh sederhana di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu, disaksikan ahli keluarga dan kenalan rapat.

Majlis resepsi mereka kemudiannya diadakan dengan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN