SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor masih menjalankan kajian terperinci dan belum menetapkan lokasi pembinaan ladang ternakan babi baharu menggantikan Bukit Tagar.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab dan akan meneliti betul-betul lokasi yang sesuai.
“Kita belum tetapkan lagi di mana tempat hendak buat. Kerajaan negeri bertanggungjawab, kita akan teliti betul-betul tempat mana sebelum buat. Penggunaan teknologi moden juga akan membantu.
“Teknologi moden, tertutup, sifar sisa buangan dan jauh daripada penduduk. Jadi tidak timbul isu hendak buat. Kita belum tetapkan lokasi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi kontrak Jangka Panjang (KJP) penyelenggaraan jalan negeri 2026-2030 dan penyerahan jentera kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri membenarkan operasi ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat serta cadangan pemindahannya ke Bukit Tagar.
Baginda menitahkan pengosongan ladang ternakan di Tanjong Sepat atas faktor pencemaran, isu kesihatan, dan sensitiviti penduduk.
Isu sama turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyatakan, kerajaan tidak pernah menentang aktiviti penternakan babi, namun menegaskan ia tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan dan bantahan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Izham berkata, pengosongan penuh ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat secara berperingkat dijangka selesai pada September tahun ini.
Beliau berkata,, proses pengosongan itu sedang berjalan dengan tiada permit baharu dikeluarkan sejak tahun lepas.
“Pengosongan sepenuhnya berjalan berperingkat hingga suku ketiga tahun ini habis, kita beri masa sehingga enam bulan dan kita akan pantau. Memang tidak keluarkan lesen baharu, kita akur titah Sultan Selangor.
“Sebenarnya kita bukan hendak ternak di situ, kita minta masa sedikit untuk proses pemindahan. Negeri tidak memperbaharui permit. Sekarang ini hanya proses pengosongan,” katanya.
Katanya, babi yang positif jangkitan wabak Demam Babi Afrika (ASF) akan terus dilupuskan tanpa menunggu tempoh matang.
ASF sebelum ini menular di Tanjung Sepat, menyebabkan lebih 80 daripada 115 ladang babi ditutup dan dalam proses pengosongan.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, kewujudan beberapa ladang ternakan babi di sekitar Sepang ditinggalkan oleh pemiliknya, mencetuskan kebimbangan kepada penduduk di beberapa buah kampung berdekatan.
Antara kampung terbabit ialah Kampung Ladang Tumbuk, Kampung Batu Untung dan Kampung Batu laut. Beberapa kandang juga masih menempatkan binatang tersebut.
Apa yang membimbangkan penduduk ialah ketiadaan pengawasan ke atas ladang-ladang berkenaan yang menurut mereka telah menutup operasi selepas wabak ASF melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu. – UTUSAN










