Hamas tolak lucut senjata

Hamas tolak lucut senjata di Gaza

.PEJUANG-pejuang Hamas mengawal kawasan ketika pekerja Mesir, diiringi anggota Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menjalankan tugas di kawasan Zeitoun, Bandar Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seorang pemimpin kanan Hamas menyatakan pihaknya tidak akan menyerahkan senjata dan tidak mahu menerima sebarang campur tangan asing di Gaza termasuk menolak tuntutan yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) serta Israel.

Gencatan senjata di Gaza yang dimediasi AS kini berada dalam fasa kedua yang memperuntukkan pengurangan kuasa ketenteraan di wilayah Palestin itu dan pelucutan senjata Hamas selain pengunduran berperingkat tentera Israel.

Hamas berulang kali menyatakan pelucutan senjata adalah garis merah, walaupun ia memberi isyarat kemungkinan mempertimbangkan penyerahan senjata kepada pihak berkuasa pemerintahan Palestin pada masa hadapan.

“Menjenayahkan penentangan, senjata dan mereka yang melaksanakannya adalah sesuatu yang tidak boleh kami terima.

“Selagi wujud penjajahan, selagi itu wujud penentangan. Penentangan adalah hak rakyat yang berada di bawah penjajahan, sesuatu yang dibanggakan oleh semua bangsa,” kata pemimpin Hamas, Khaled Meshal pada satu persidangan di Doha semalam.

Meshal turut menggesa Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden AS, Donald Trump mengambil pendekatan seimbang yang membolehkan pembinaan semula Gaza dan penyaluran bantuan kepada kira-kira 2.2 juta penduduk Palestin.

Beliau juga, memberi amaran Hamas tidak akan menerima pemerintahan asing ke atas wilayah Palestin.

“Kami berpegang kepada prinsip nasional kami dan menolak logik naungan pentadbiran, campur tangan luar atau mengembalikan mandat dalam apa jua bentuk. 

“Rakyat Palestin mentadbir rakyat Palestin. Gaza milik penduduk Gaza dan milik Palestin. Kami tidak akan menerima pemerintahan asing,” tegasnya.

Israel memperhebatkan serangannya ke atas Gaza yang dikepung sehingga menjadi perang genosid pada Oktober 2023, mengorbankan hampir 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah tersebut.

Pegawai Israel mendakwa Hamas masih mempunyai kira-kira 20,000 pejuang dan sekitar 60,000 raifal Kalashnikov di Gaza.

Sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin ditubuhkan dengan matlamat mengambil alih pentadbiran harian di Gaza yang musnah teruk, namun masih tidak jelas sama ada atau bagaimana, isu pelucutan ketenteraan akan ditangani. 

Jawatankuasa itu beroperasi di bawah naungan Lembaga Keamanan yang awalnya diwujudkan untuk menyelia gencatan senjata Gaza dan pembinaan semula pascaperang.

Namun, mandatnya kemudian diperluaskan, sekali gus mencetuskan kebimbangan pengkritik ia berpotensi menjadi pesaing kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Trump memperkenalkan lembaga itu pada Forum Ekonomi Dunia di pusat peranginan ski Davos, Switzerland bulan lalu dengan kehadiran pemimpin dan pegawai dari hampir 24 negara yang turut menandatangani piagam penubuhannya.

Selain Lembaga Keamanan, Trump turut menubuhkan Lembaga Eksekutif Gaza, sebuah panel penasihat kepada jawatankuasa teknokrat Palestin yang dianggotai tokoh antarabangsa termasuk utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner serta bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×