KUALA LUMPUR: Istilah pemutihan dalam isu pembinaan rumah ibadat tidak boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk pengesahan automatik atau pemberian kelebihan baharu, sebaliknya perlu difahami secara ketat mengikut kerangka undang-undang sedia ada.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, langkah tersebut bukan bermaksud kesalahan asal diketepikan atau digantikan dengan kedudukan yang sama tahap atau lebih baik berbanding sebelum pelanggaran berlaku.
“Istilah pemutihan perlulah ditafsir mengikut undang-undang dan bukanlah memberikan suatu gantian yang sama tahap atau lebih baik. Pemutihan yang dibincangkan perlulah dikenal pasti, diberikan notis dan dilaksanakan mengikut undang-undang.
“Langkah itu juga tanpa memberi sebarang gantian tanah milik kerajaan atau pampasan kerana ini akan menjadikan ikutan bagi kes-kes akan datang berkenaan pembinaan rumah ibadat haram,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan rumah ibadat diwajibkan mematuhi undang-undang termasuk mendapatkan kebenaran merancang sebelum menduduki atau membina di mana-mana tapak.
Jelasnya, kebenaran merancang mesti dimohon dan syarat itu terpakai kepada semua rumah ibadat sama ada masjid, kuil, gereja dan tokong.
Dalam pada itu, tambah Muhamad Hisham, tafsiran longgar terhadap pemutihan akan membuka ruang kepada pembinaan rumah ibadat secara tidak sah dengan jangkaan boleh disahkan kemudian, sekali gus menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Sekiranya sesebuah rumah ibadat masih menceroboh atau menduduki tanah secara tidak sah, undang-undang menyediakan mekanisme jelas sama ada melalui pendakwaan ke atas pencerobohan tanah kerajaan atau tindakan sivil oleh pemilik berdaftar, termasuk hak untuk merobohkan struktur terbabit,” kongsinya.
Sementara itu, pakar undang-undang perancangan bandar, Prof. Madya Dr. Foziah Johar, berkata rumah ibadat lama tetap wajar dinilai dari sudut perancangan bagi memastikan kesesuaian guna tanah, keselamatan, akses, utiliti dan keselesaan komuniti setempat.
“Rumah ibadat lama sewajarnya dinilai dari segi perancangan bertujuan mengawal kesesuaian guna tanah, keselamatan, akses, utiliti, keselesaan komuniti dan sebagainya dan mungkin boleh longgar untuk aspek saiz dan rupa.
“Pemutihan dibolehkan jika tiada isu-isu di atas dan jika tiada isu kritikal, pemutihan rasanya tiada masalah,” katanya.
Menurut Foziah, tindakan perobohan jarang dilakukan secara terus kerana proses membuat keputusan melibatkan ramai pihak dan mengambil masa, kecuali dalam kes melibatkan keselamatan bangunan.
“Komuniti setempat tentunya terjejas kerana mungkin sudah biasa dan ahli komuniti rapat, namun perlu dilihat dari sudut jangka panjang,” kongsinya. – UTUSAN










