Roboh pembinaan haram tanpa prejudis, 41 rumah ibadat bukan Islam dibina tanpa kebenaran di Perlis - Utusan Malaysia

Roboh pembinaan haram tanpa prejudis, 41 rumah ibadat bukan Islam dibina tanpa kebenaran di Perlis

TINJAUAN jurugambar Utusan Malaysia di lokasi Kuil Veeramakaliamman yang diambil tindakan perobohan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) di Bukit Lagi, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 41 buah rumah ibadat bukan Islam termasuk enam kuil dibina tanpa kebenaran atau secara haram di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Perlis (MPPs), Affendi Rajini Kanth berkata, setakat ini, hanya 10 rumah ibadat bukan islam yang telah memperolehi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu termasuk dua kuil iaitu Kuil Sri Subraniaswamy Devastanam di Bukit Lagi dan Kuil Kamatchi di Padang Besar.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, dua kuil haram telah berdepan tindakan perobohan termasuk yang terbaharu, Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebarang tindakan perobohan pembinaan haram di atas tanah kerajaan tersebut dilakukan tanpa sebarang prejudis tanpa mengira agama atau kaum.

“Tindakan perobohan terhadap rumah ibadat atau kuil terbabit bukan diambil secara tergesa-gesa serta drastik, sebaliknya notis berkaitan pembinaan haram di atas tanah kerajaaan itu telah diberikan lebih awal.

“MPPs dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan memberikan notis dengan tempoh maksimum sekurang-kurangnya 60 hari untuk tindakan pengosongan. Dalam tempoh itu, terpulang kepada pihak jawatankuasa rumah ibadat untuk berunding dengan kerajaan negeri dan segala keputusan negeri selepas itu, kita akur.

“Tindakan perobohan pembinaan haram di atas tanah kerajaan ini dilakukan tanpa sebarang prejudis tanpa mengira agama atau kaum dan ia termasuk tindakan terhadap penempatan-penempatan haram dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, perobohan Kuil Veera­makaliamman dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sah.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak pernah menghalang sekiranya pembinaan kuil tersebut mematuhi syarat dan lokasi yang sesuai bukannya pembinaan secara haram.

Abu Bakar juga mendedahkan, selain kuil di Bukit Lagi, kerajaan negeri juga mengenal pasti rumah ibadat lain di Kuala Perlis dan Padang Besar yang dibina tanpa kebenaran, seterusnya mengesyorkan agar jawatankuasa rumah ibadat tersebut tampil berbincang secepat mungkin.

Affendi Rajini berkata, dalam isu perobohan kuil di Bukit Lagi, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan mengikut lunas perundangan selepas beberapa siri notis pengosongan dikeluarkan sejak Januari lalu.

Affendi Rajini Kanth

Katanya, sebelum operasi dijalankan, pihak berkuasa sudah mengeluarkan notis bertarikh 23 Januari, disusuli notis pada 10 dan 19 Jun lalu kepada pemilik premis terbabit untuk mengosongkan tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil dan struktur bangunan kuil itu sendiri didapati sudah kosong serta tidak terurus jika dilihat daripada struktur luarannya. Tidak ada sebarang permohonan dikemukakan untuk membina kuil baharu di situ dan tindakan perobohan ke atas tapak itu adalah hak mutlak kerajaan negeri.

“Tindakan perobohan itu diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828). Menurut seksyen itu, mana-mana individu yang tanpa kebenaran sah menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab mahupun tanah perlombongan adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini