Rumah ibadat mesti patuhi undang-undang - Sultan Pahang

Rumah ibadat mesti patuhi undang-undang – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada majlis perasmian Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pembinaan mana-mana rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan, membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.

“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera di sini semalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda.

Tegas Sultan Pahang, segala tindakan di negeri ini memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.

Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.

Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN