Sultan Kedah pandang serius isu rumah ibadat tidak sah

Sultan Kedah pandang serius isu rumah ibadat tidak sah

SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang termasuk dalam isu rumah ibadat bagi semua agama.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda memandang serius isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah sama ada pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun tanah persendirian.

Titah baginda, sebarang tindakan yang mengenepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

“Beta dengan tegas melarang sebarang usaha mempolitikkan isu agama termasuk cubaan pihak tertentu yang mengambil kesempatan ‘menangguk di air keruh’ demi kepentingan sempit sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Beta juga ingin menegaskan bahawa institusi keagamaan tidak sekali-kali wajar disalahguna bagi kepentingan peribadi atau dijadikan wadah kepada agenda politik tertentu,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15, hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, perkara itu mempunyai kaitan langsung dengan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan negeri dan negara.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang agama dan kaum, keharmonian bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk dengan sikap hormat-menghormati dan memahami batas sensitiviti masing-masing,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyeru rakyat Kedah mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah disebabkan konflik dan peperangan melanda Asia Barat dan Eropah Timur yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara dan negeri

“Pengurusan sumber negeri juga hendaklah dilaksanakan secara berhemah, cekap dan berstrategi bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak yang optimum.

“Amalan penjimatan perlu dijadikan keutamaan di semua peringkat jabatan dan agensi, dengan menitikberatkan keperluan berbanding kehendak dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN