KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Hazwani Helmi, yang merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), meluahkan rasa sebak dan penuh emosi apabila menitipkan penghargaan buat kedua-dua ibu bapanya yang merelakan pemergiannya dan kakak, Heliza Helmi berlayar menyertai misi ke Gaza itu.
Menerusi hantaran di media sosial, Hazwani menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu bapanya yang bukan sahaja mendidik, malah tidak putus-putus memberi sokongan dan doa agar misi tersebut dipermudahkan.
“Terima kasih Mama Abah sebab menyokong kami, mendoakan kami dan mendidik kami sampai ke tahap ini.
“Kami tahu bukan mudah mama dan abah nak merelakan dua orang anak perempuan sekaligus untuk misi macam ni.
“Tapi kami yakin sebab mama abah antara orang yang sangat yakin dengan kuasa doa,” tulisnya.
Menurut Hazwani, pengalaman menyertai misi kemanusiaan di Syria, Gaza dan beberapa negara bergolak sebelum ini membuatkan dirinya percaya kepada perlindungan Allah SWT.
Selain itu, dia reda ibu bapanya menjadi benteng kekuatan sepanjang perjalanan.
“Kami tahu mesti tak lena tidur mama abah,terutama malam ini sebab kami dah masuk zon merah, sangat dekat dengan Gaza.
“Banyak berangkalian akan berlaku, tapi insha-Allah reda mama abah menjadi payung penyelamat kami,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hazwani turut memohon maaf atas segala kekhilafan serta menghalalkan segala pengorbanan ibu bapanya, sambil mendoakan agar Allah mengurniakan syurga tertinggi buat mereka berdua.
Difahamkan, misi kemanusiaan GSF kini telah memasuki perairan Zon Merah R3 pada jam 8.58 malam tadi waktu Malaysia.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap wilayah itu.
Flotilla berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi berkenaan menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.