KUALA LUMPUR: Penyatuan orang Melayu perlu dimulakan oleh dua parti terbesar iaitu UMNO dan Pas kerana perpecahan hanya akan merugikan akar umbi dan melemahkan kekuatan bangsa itu sendiri.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, majoriti orang Melayu tanpa kuasa hanya sekadar angka tanpa makna kerana sejarah telah membuktikan perpecahan antara dua parti besar Melayu membawa kerugian besar kepada bangsa tersebut.
Katanya, penyatuan itu bukan untuk kepentingan politik semata-mata, sebaliknya bertujuan mempertahankan agama, bangsa serta memastikan masa depan ekonomi orang Melayu khususnya di negeri-negeri majoriti Melayu.
“Penyatuan UMNO dan Pas mampu membangunkan semula ekonomi orang Melayu selain mengembalikan kekuatan politik Melayu yang semakin terhakis akibat perpecahan berpanjangan.
“Saya menyeru semua orang Melayu tanpa mengira fahaman politik agar melupakan perbalahan lama dan kembali bermuafakat demi kepentingan nasional. UMNO juga bersedia menjadi wadah penyatuan orang Melayu.
“Perkara ini akan kita bawa ke peringkat pimpinan serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2025) pada 14 hingga 17 Januari ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO berhubung Hala Tuju dalam Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Muhammad Akmal berkata, penyatuan dua parti terbesar itu bertujuan memastikan kelangsungan hidup dan masa depan orang Melayu di tanah air sendiri tidak akan terhakis.
“Saya menyeru kepada kepimpinan untuk tutup cerita lama bukan untuk kita lupa. Ia bukan untuk melupakan sejarah, tetapi untuk mengambil pengajaran daripada kesan perpecahan yang berlaku selama ini.
“Perpecahan itu telah memberi ruang kepada pihak lain menghina bangsa dan agama orang Melayu. Kita tidak sanggup melihat orang Melayu terkubur di negara ini,” katanya. – UTUSAN










