JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan menjalankan siasatan berhubung tindakan individu didakwa mengisi petrol RON95 menggunakan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang ditutup sebahagiannya.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah menerima satu laporan dibuat pengadu berhubung kejadian terbabit yang tular di media sosial, hari ini.
“Pengadu sudah buat aduan dalam sistem. Pasukan penguatkuasa juga telah digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan.
“Sekarang kita tunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan dua individu yang mengisi minyak RON95 pada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dengan sebahagian nombor plat ditutup pelekat berwarna hitam. – UTUSAN










