Hormatilah guru, biar pelajar rasa takut hendak buat salah - Bell Ngasri - Utusan Malaysia

Hormatilah guru, biar pelajar rasa takut hendak buat salah – Bell Ngasri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Bell Ngasri tampil menjelaskan maksud sebenar di sebalik gambar dan babak lakonannya dalam telefilem Pa’e (1996) yang kembali menjadi tular di media sosial baru-baru ini terutama ketika isu buli pelajar hangat diperkatakan di seluruh negara.

Menurut Bell, babak dirinya dipukul oleh pelakon veteran Harun Hashim yang memegang watak sebagai gurunya dalam telefilem itu tidak seharusnya disalah tafsir.

Sebaliknya, kata Bell, babak tersebut harus dijadikan sebagai renungan buat generasi muda untuk memahami nilai disiplin dan rasa hormat terhadap guru.

“Saya tak kata saya nak cikgu macam itu. Maksudnya bila orang cakap begitu, (mengenai babak dia dipukul guru), saya terasa terpanggil mungkin sebab sekarang ini generasi pelajar berbeza.

“Saya letak gambar dan sedutan babak drama itu di media sosial supaya generasi sekarang boleh tengok macam mana cikgu zaman saya dulu, contohnya di zaman 90-an,” jelasnya ketika ditemui di sidang media drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di One Utama, di sini, semalam.

Bell berkata, tujuannya memuat naik semula gambar sedutan dari telefilem tersebut bukan untuk menggalakkan guru menggunakan kekerasan sebaliknya untuk menunjukkan perbezaan sikap pelajar dahulu dan sekarang terhadap guru.

“Itu yang saya nak sedarkan kepada budak-budak dan pelajar sekarang yang mungkin kurang rasa hormat kepada cikgu, umpama dah tak takut.

“Bagi saya, peranan guru di sekolah amat penting. Hormatilah cikgu, takutlah pada cikgu. Itu yang paling penting supaya murid tahu rasa takut nak buat salah,” ujarnya.

Mengimbas kembali zaman persekolahan, Bell mengakui generasinya dahulu lebih berdisiplin kerana rasa takut terhadap hukuman guru, berbeza dengan keadaan sekarang di mana tindakan rotan tidak lagi dibenarkan.

“Saya sendiri pun, kalau anak saya buat salah, saya suruh cikgu pukul. Tak ada masalah. Kalau untuk mengajar, untuk kebaikan budak itu, apa salahnya.

“Kalau sampai tahap kurang ajar, mungkin boleh rotan sedikit, jangan sampai macam kena sebat dalam penjara sudahlah,”tambahnya.

Mengimbas kembali zaman persekolahan, kata Bell, dia pernah dikenakan hukuman menumbuk dinding simen dan menulis berulang kali di dalam buku sebagai pengajaran akibat kenakalan sendiri.

Bagaimanapun, akuinya, hukuman seperti itu tidak mencederakan tetapi memberi kesedaran dan membentuk keperibadian.

“Saya rasa tak salah kalau benda-benda macam itu diterapkan semula, bukan untuk mencederakan tapi untuk mendidik,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 43 tahun itu turut berkongsi pengalaman sebenar ketika penggambaran Pa’e itu dijalankan.

Katany, babak berkenaan menyaksikan dirinya benar-benar dipukul oleh Harun demi menjayakan watak dengan lebih realistik.

“Kena pukul betul-betul tahu, itu bukan lakonan. Kalau saya tahu berlakon tapi kena pukul betul-betul, baik saya tak nak berlakon. Tapi memang sakitlah.

“Walau bagaimanapun, saya akui tiada sebarang dendam disimpan terhadap Harun. Malah saya bersyukur kerana babak tersebut menjadi antara lakonan saya yang paling diingati hingga kini.

“Saya gembira dapat berlakon cerita tu. Walaupun masa dulu mungkin ada terasa hati, saya maafkan. Alhamdulillah, sebab pukulan itulah yang membuatkan saya dikenali sampai hari ini. Lebih 30 tahun pun orang masih ingat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN