Reman lelaki tikam ibu disambung seminggu

Reman lelaki tikam ibu disambung seminggu

SYED BASRI SYED ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis memperoleh kebenaran untuk menyambung reman lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ibunya yang berlaku di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 29 tahun kini direman seminggu lagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Reman suspek disyaki membunuh ibunya dibenarkan disambung sehingga 15 Februari ini bagi membolehkan pihak polis menyiasat lebih lanjut kes terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar ini pada 2 Februari lalu melaporkan, seorang wanita berusia 52 tahun yang juga eksekutif sebuah bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman termasuk di bahagian dada.

Hasil siasatan mendapati, mangsa disyaki dibunuh oleh anak sulungnya yang berdepan masalah kewangan termasuk berhutang ahlong di Pulau Pinang.

Suspek juga mendakwa dibebani dengan kos menyewa motosikal berjumlah RM700 sebulan dengan sebuah kedai, selain mempunyai komitmen sewa bilik.

Dia yang bekerja kilang ditahan pada hari yang sama di dalam sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan menuju ke ibu negara dipercayai cuba melarikan diri pada hari kejadian.

Mangsa, Zahrullail Basir yang juga ibu tunggal sepatutnya melangsungkan perkahwinan kali kedua pada Jumaat ini, namun tidak kesampaian apabila ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dalam bilik tidur di rumahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×