KUALA LUMPUR: Kerja awalan yang dilaksanakan sebelum bermulanya sesuatu projek pembinaan bukanlah punca kelewatan pelaksanaannya.
Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lebih teratur tanpa berdepan risiko kelewatan serta peningkatan kos.
Katanya, pendekatan kerja awalan telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebagai sebahagian daripada proses perancangan projek berkenaan.
“Tujuan kerja awalan ini adalah untuk memastikan sesuatu projek betul-betul bersedia sebelum dilaksanakan termasuk daripada segi tapak, skop dan anggaran kos.
“Tanpa persediaan awal yang rapi, projek berisiko berdepan masalah seperti perubahan pelan, kos meningkat dan kelewatan semasa pembinaan.
“Pengalaman lalu menunjukkan bahawa projek yang diluluskan terlalu awal tanpa persediaan mencukupi akhirnya mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kerajaan memberi jaminan setiap projek pembinaan dan naik taraf hospital dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan telus dan bertanggungjawab.
Katanya, kegagalan membuat persediaan menyeluruh pada peringkat awal boleh menyebabkan pembetulan perlu dilakukan ketika pelaksanaan sedang berjalan sekali gus menjejaskan tempoh siap serta peruntukan yang telah dirancang.
“Lebih baik kita sediakan projek dengan betul dari awal, daripada membetulkan masalah di pertengahan jalan.
“Namun begitu, KKM akan memastikan proses ini tidak mengambil masa terlalu panjang. Kajian-kajian di tapak bagi projek naik taraf Hospital Duchess of Kent Sandakan seperti kerja-kerja survey, soil investigation dan Environmental Impact Assessment telah selesai dilaksanakan.
“KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memuktamadkan jadual keperluan ruang. Pada masa ini KKM sedang memuktamadkan Medical Brief of Requirement (memperincikan MBOR) untuk penyediaan anggaran kos awalan yang dijangka akan diselesaikan pada suku kedua tahun 2026,” katanya. – UTUSAN










