PETALING JAYA: Penyanyi, Syamel tampil dengan lagu terbaharu berjudul Beribu Tanda Tanya hasil ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit.
Lagu yang sarat dengan emosi, Syamel berkata, Beribu Tanda Tanya membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui persoalan dalam hati dan minda yang tidak pernah terjawab.
“Cerita mengenai lagu Beribu Tanda Tanya adalah tentang persoalan yang banyak membelenggu fikiran dan hati seseorang.
“Dia meluahkan rasa melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung,” jelas Syamel.
Tambah Syamel, karya terbitan bersama Universal Music dan Alternate ini juga menjalani proses rakaman di Voltalab Sound Studio yang terletak di Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry Abdul Halim.
“Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu yang ‘mahal’ sebab saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry yang menetap di sana. Semua proses, dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester.
“Pengalaman merakam lagu ini sangat berharga sebab kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang penuh sejarah.
“Antara artis legenda UK seperti Oasis pernah merakamkan lagu mereka di studio yang sama. Saya rasa sangat dihormati dapat merakam Beribu Tanda Tanya di situ,” kongsinya.
Dalam masa sama, Syamel menyifatkan lagu ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi penceritaan dan berharap pendengar dapat menghayati sepenuhnya lirik dan melodinya.
“Lagu ini sangat unik dari segi penceritaan, ia dibina berdasarkan soalan yang diajukan dalam lirik.
“ Ramai yang mungkin pernah alami situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Jadi saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini,” tambahnya.
Syamel juga berharap yang bakal menjadi runut bunyi untuk drama bersiri terbaharu yang berjudul Doa Yang Terlindung ini mampu kekal relevan sepanjang masa.
“Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang orang tak pernah jemu nak dengar. Dan mungkin, melalui lagu ini juga, pendengar belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri.
“Semoga lagu ini mekar dan terpahat di hati pendengar dan peminat saya sampai bila-bila, insya-Allah.”
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.