KUALA LUMPUR: Anak kepada pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz, Dwi Arianna, tampil mempertahankan bapanya itu susulan isu buli siber yang didakwa semakin melampau hingga menjejaskan emosi keluarganya.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Threads, Dwi Arianna meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang menjadi punca kepada tekanan emosi dialami oleh ibu bapanya.
“Buli itu sangat teruk. Selama 19 tahun saya hidup, saya hanya pernah melihat ayah menangis dua kali, sekali ketika ibunya meninggal dunia, dan sekali lagi malam tadi,” katanya.
Menurutnya, keadaan menjadi semakin sukar apabila dia kini berada di luar negara, manakala adiknya yang berusia 15 tahun terpaksa menjadi satu-satunya yang ada disisi ibu bapa mereka.
“Sakit rasanya apabila saya berada jauh di seberang negara, dan adik perempuan saya yang berumur 15 tahun terpaksa menjadi satu-satunya sistem sokongan untuk mereka.
“Ibu bapa saya memang kuat, tapi mereka juga manusia.Apabila ibu bapa saya menangis, itu bermakna satu had telah dilampaui. Maka ya, sudah tentu kami akan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Dwi turut menyindir individu yang didakwa menjadi punca kepada kontroversi tersebut.
“Malangnya, saya tidak peduli sama ada dia akan hidup merempat di jalanan atau mencari peminjam wang tiada lesen.
“Tapi sharina richie, kamu boleh saja menjual koleksi kereta mewah kamu, atau memandangkan kamu bercadang hendak membeli Porsche, sepatutnya itu bukan masalah, kan?” katanya.
Dwi juga menegaskan keluarganya bersedia untuk berdepan sebarang kecaman susulan langkah tersebut.
“Saya tidak kisah tentang sebarang kecaman yang Shafitnah terima sekarang, dan ya, sila dapatkan peguam,” tambahnya.
Dalam pada itu, isteri Aaron, Diyana Halik turut memuat naik hantaran di Instagram, meluahkan kekesalannya mengenai apa yang menimpa Aaron selain mengakui turut berasa tertekan.
Tidak cuma itu, Diyana juga berkongsi sekepimy gambarnya bersama Aaron bertemu dengan seorang peguam, dipercayai sebagai usaha untuk membawa isu buli siber ini ke muka pengadilan.
“Ia merupakan dua hari yang amat menekan bagi saya. Biasanya saya akan minta suami untuk abaikan sahaja, tetapi kerana anak-anak dan suami amat terkesan dengan perkara ini, saya rasa inilah pilihan terbaik.
“Suami saya ialah figura kekuatan dalam rumah kami. Melihat dia rebah dan ditenangkan oleh anak bongsu kami benar-benar menyayat hati. Melihat dua orang anak kami menangis dari jauh membuatkan kami berasa begitu tidak berdaya.
“Ia merupakan saat hari lahir yang menyedihkan untuk Danish. Dar (Aaron), tidak mengapa untuk menunjukkan kelemahan, kamu juga manusia.
Saya sayang kamu, “katanya.
Terdahulu, tular satu video suntingan yang menunjukkan seolah-olah aktor asal Singapura itu mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), sekali gus membuatkan dia menerima pelbagai kecaman daripada netizen.
Aaron kemudian tampil mempertahankan diri dan meminta netizen menonton rakaman penuh temu bual berkenaan sebelum membuat sebarang andaian.
Dalam rakaman temu bual berlangsung dua minggu lalu, Aaron berpendapat selebriti tidak wajar dipaksa untuk bersuara mengenai isu Gaza dalam akaun media sosial mereka demi memenuhi kehendak netizen.
Tegas Aaron, dia tidak pernah mempertikai usaha mana-mana pihak dalam menyokong dan membantu rakyat Palestin.