Aaron Kwok timang anak ketiga di usia 59 tahun - Utusan Malaysia

Aaron Kwok timang anak ketiga di usia 59 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Bintang terkenal Hong Kong, Aaron Kwok, mengisytiharkan dirinya sebagai lelaki paling bertuah di dunia selepas menyambut kelahiran anak perempuannya yang ketiga.

Pelakon dan penyanyi berusia 59 tahun itu, yang berkahwin dengan blogger fesyen China, Moka Fang, 38, mengumumkan berita gembira itu menerusi hantaran di media sosial pada 22 Oktober lalu.

“Puteri kecil kami akhirnya telah pulang ke rumah.Ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, dan kami amat bersyukur atas segala-galanya.”tulis penyanyi Cantopop tersebut dalam bahasa Cina sambil memuat naik sekeping foto bayinya.

Kwok, yang turut mempunyai dua lagi anak perempuan berusia enam dan lapan tahun hasil perkahwinannya dengan Fang, mengakui berasa sangat bersyukur dikurniakan anak di usia ini.

“Kini keluarga kami memiliki tiga mutiara yang bersinar. Saya berasa amat diberkati dan bahagia. Kedua-dua kakaknya tidak sabar untuk menjaga adik mereka.

“Bagi saya, sama ada anak lelaki atau perempuan, semuanya adalah anugerah paling berharga daripada syurga. Rumah kami kini benar-benar lebih bermakna dan saya ialah lelaki paling bertuah di dunia, dikelilingi empat dewi yang menyayangi saya,”katanya.

Fang turut berkongsi hantaran suaminya di platform media sosial Weibo.

“Melihat suami saya mendukung bayi kami, dengan sinaran mata yang sama seperti kali pertama dia bergelar bapa, saya tahu cinta kami adalah yang paling tulus.

“Terima kasih, suamiku, jantina anak tidak pernah menjadi syarat dalam kasih sayang kami. Kesihatan, kebahagiaan dan kebaikan adalah hadiah terbaik yang boleh kami berikan kepada anak-anak perempuan kami,”katanya.

Sementara itu, menurut laporan portal Sing Tao Headline, Kwok dilihat memandu dari kediamannya ke Hong Kong Sanatorium & Hospital bersama ibu mentuanya pada 22 Oktober.

Lebih sejam kemudian, dia kembali ke tempat letak kereta bersama mentua dan dua jururawat.

Salah seorang jururawat dilihat membawa tempat duduk bayi dan dengan cermat meletakkan bayi baru lahir itu ke dalam kereta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN