LONDON :Pasangan selebriti terkenal, Millie Bobby Brown dan Jake Bongiovi, kini rasmi bergelar ibu bapa selepas mengumumkan mereka telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkat.
Berita gembira itu dikongsikan pasangan muda tersebut menerusi satu hantaran di Instagram, semalam.
“Musim panas ini, kami menyambut kehadiran puteri kecil kami melalui proses adopsi. Kami amat teruja untuk memulakan fasa baharu sebagai ibu bapa,” tulis mereka.
Menurut pasangan berkenaan, mereka berhasrat membesarkan anak itu jauh daripada tumpuan media demi memastikan kehidupan yang tenang dan peribadi.
Mereka juga enggan mendedahkan nama serta usia bayi tersebut.
Sementara itu, portal hiburan TMZ melaporkan pasangan berkenaan dilihat bersiar-siar di East Hampton, New York, sambil menolak sebuh kereta sorong bayi.
Kedua-duanya tampil santai dengan busana kasual.
Kehadiran cahaya mata angkat itu bukan sahaja menceriakan rumah tangga Millie dan Jake, malah membawa kegembiraan kepada keluarga legenda rock, Jon Bon Jovi yang kini menimang cucu pertama.
Millie, 21, sebelum ini pernah mengungkapkan hasrat untuk bergelar ibu pada usia muda.
Bintang filem Enola Holmes itu juga pernah berkongsi impian memiliki keluarga besar bersama suaminya.
“Sejak kecil lagi saya beritahu ibu bahawa saya suka bayi. Saya mahu menjadi ibu seperti ibu saya,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast SmartLess pada Mac lalu.
Tambahnya lagi, dia tidak kisah sama ada memiliki anak melalui kehamilan semula jadi ataupun adopsi kerana baginya, kedua-duanya membawa makna yang sama.
Millie dan Jake mendirikan rumah tangga pada Mei 2024 selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.