Jangan laung 'justice for Zara' kalau kamu sendiri 'keyboard warrior' - Utusan Malaysia

Jangan laung ‘justice for Zara’ kalau kamu sendiri ‘keyboard warrior’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Indonesia, Allan Anderson, 34,meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap tragedi menyayat hati yang menimpa pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.

Allan, 34, berkata sebagai seorang individu, dia turut terkesan dengan perkembangan kes tersebut yang kini mendapat perhatian seluruh negara.

“Terus-terang, saya sangat berduka dengan kejadian yang menimpa adik Zara Qairina. Sedih membaca dan melihat apa yang berlaku kepadanya.

“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan mereka yang terlibat, terutama pembuli, menerima hukuman setimpal,”katanya.

Dia berkongsi pandangan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya Seakan Ku Tak Ada yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai isu buli yang semakin membimbangkan, Allan menegaskan gejala itu kini bukan sahaja berlaku secara fizikal, tetapi turut menular dalam bentuk serangan siber di media sosial.

“Buli hari ini bukan sekadar dipukul, tetapi juga serangan karakter dan kata-kata jahat di alam maya.

“Saya pernah luahkan di Instagram, jangan jeritkan ‘justice for Zara’ kalau kamu sendiri seorang ‘keyboard warrior’.

“Ada orang pakai tudung senget pun nak komen, fizikal orang pun jadi bahan ejekan,”** ujarnya.

Menurut Allan, masyarakat perlu lebih beradab dalam menyampaikan teguran serta belajar menerima perbezaan antara satu sama lain.

“Kenapa kita tak boleh terima kekurangan orang dan raikan kelebihan mereka? Masih ramai yang bersembunyi di sebalik akaun palsu semata-mata untuk mengecam.

“Cara menegur itu penting, bukan dengan komen jahat dan menyamakan orang dengan binatang. Itu sangat keterlaluan,”katanya lagi.

Allan turut mengingatkan bahawa semua agama menganjurkan nilai kasih sayang dan kebaikan, yang sepatutnya dijadikan asas dalam membentuk masyarakat lebih berempati dan berakhlak.

Dalam pada itu, Allan baharu sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada.

Trek ini merupakan salah satu daripada lagu yang terkandung dalam album studionya yang
berjudul ‘dear aa’ dan mengangkat tema perasaan diabaikan dalam sebuah hubungan.

“Lagu Seakan Ku Tak Ada terinspirasi dari kisah seorang teman rapat. Setiap kali dia bercerita
tentang hubungannya, saya merasa ada sesuatu yang janggal, seolah-olah pasangannya tidak menghargai keberadaannya.

“Dari situ, saya mula membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang, tapi rasanya seperti tidak pernah benar-benar dianggap. Perasaan itulah yang saya jelmakan dalam lagu ini.

“Meskipun bukan pengalaman peribadi secara langsung, tapi emosi yang saya rasakan ketika menulis lagu ini sangat dekat di hati saya.” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN