KUALA LUMPUR: Program kerani berartikel tetap relevan dan wajar diteruskan kerana ia memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menceburi bidang perundangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, program itu membuka laluan bagi anak-anak keluarga miskin mempelajari undang-undang dan seterusnya menjadi peguam berkaliber.
Katanya, ia juga dapat memastikan akses pendidikan undang-undang tidak hanya tertumpu kepada golongan berkemampuan.
“Cadangan Yang Berhormat Besut ini akan menafikan peluang golongan kurang berkemampuan untuk menceburi profesion guaman.
“Program kerani berartikel diwujudkan pada 1970-an untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Bagaimana pula dengan anak-anak dari keluarga miskin? Mereka perlu diberi peluang sama untuk belajar undang-undang.
“Kerajaan Madani berfikir di luar kotak dan menolak monopoli pendidikan yang hanya membolehkan graduan universiti tertentu layak menjadi peguam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mencadangkan supaya program kerani berartikel ditutup kerana graduan ijazah undang-undang (LLB) kini terlalu ramai iaitu melebihi 1,000 orang setahun berbanding 100 hingga 200 pada era 1980-an, dan laluan kerani berartikel dianggap tidak lagi relevan. – UTUSAN










