PARLIMEN: Pembangunan industri REE perlu beri manfaat kepada negeri pengeluar

PARLIMEN: Pembangunan industri REE perlu beri manfaat kepada negeri pengeluar

SYED IBRAHIM SYED NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) perlu memberi manfaat yang ketara dan meluas kepada masyarakat setempat terutama di negeri pengeluar, bukan sekadar menjadi tapak perlombongan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keseluruhan rantaian nilai industri REE perlu merangkumi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran.

“Negeri-negeri pengeluar wajar menikmati faedah ekonomi, menarik peluang pelaburan dan memupuk pertumbuhan industri sokongan.

“Kita mesti memastikan tumpuan bukan sahaja kepada eksport tetapi kepada pembinaan ekosistem yang komprehensif,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai sejauh mana perbincangan strategik dua hala antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dilaksanakan bagi memastikan pembangunan industri mineral khususnya REE selaras dengan semangat federalisme.

Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa mengadakan perbincangan strategik secara berterusan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan industri REE dijalankan secara inklusif.

Katanya, perbincangan dijalankan melalui Majlis Mineral Negara (MMN) yang berperanan sebagai platform utama untuk menyelaras dasar, hala tuju dan tadbir urus sektor mineral antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Kerajaan Persekutuan menyediakan sokongan teknikal, garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE, manakala Kerajaan Negeri mengekalkan kuasa kelulusan tenemen, pelesenan, penguatkuasaan serta kutipan hasil bagi memastikan tiada pertindihan kuasa.

“Pendekatan ini memastikan tiada pertindihan atau konflik antara kedua-dua peringkat kerajaan serta menghormati pemisahan kuasa antara pentadbiran persekutuan dan negeri,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN