KUALA LUMPUR: Hanya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan tinggi dan benar-benar culas akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, bagi peminjam yang baru menamatkan pengajian atau belum mempunyai pendapatan, tidak akan dikenakan sekatan perjalanan bagi memastikan keadilan serta kelestarian dana pendidikan negara.
“Ini adalah permulaan kepada inisiatif kerajaan untuk mengembalikan lebih banyak manfaat kepada rakyat apabila hutang PTPTN dikutip secara lebih sistematik tanpa membebankan peminjam.
“Sebagaimana pengumuman Belanjawan 2026 sebelum ini, kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan kepada peminjam yang mampu membayar dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) mengenai langkah membantu graduan belum mendapat pekerjaan tetap, tetapi telah disenarai hitam untuk ke luar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan PTPTN manakala pelajar daripada keluarga B40 pula terpaksa bekerja sambil belajar disebabkan bantuan tidak mencukupi.
Adam Adli berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap beban hutang graduan dan kesukaran mereka membuat bayaran balik sekiranya tidak berkemampuan.
Katanya, pelbagai inisiatif disediakan bagi meringankan beban peminjam selepas bergraduasi termasuk tempoh grace period selama 12 bulan diberikan kepada peminjam selepas tamat pengajian sebelum diminta membuat bayaran balik pinjaman.
“Kemudahan penstrukturan semula bayaran balik dibenarkan mengikut kemampuan kewangan peminjam sehingga umur 60 tahun.
“Penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan sehingga mereka mempunyai pendapatan atau maksimum tempoh dua tahun.
“Penangguhan bayaran balik sepanjang tempoh pengajian bagi peminjam yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










