PETALING JAYA – Universal Music Malaysia (UMM) semalam mengumumkan perolehan pegangan majoriti dalam Faithful Music, label rakaman tempatan yang diasaskan oleh Faizal Tahir dan Mike Chan, sekali gus menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua pemain utama industri muzik tanah air.
Langkah ini dijangka memperkukuh kedudukan UMM dalam pasaran Nusantara merangkumi Malaysia, Singapura dan Indonesia, selain membuka peluang lebih luas kepada barisan artis di bawah Faithful Music.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, UMM juga akan bertindak sebagai pengedar eksklusif bagi katalog muzik Faithful Music yang merangkumi lagu-lagu popular seperti Santai, Alamak Raya Lagi dan Angau.
“Faithful Music ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa setiap artis berhak menerima peluang berkualiti untuk berkembang dan berjaya. Kami teruja untuk bekerjasama dengan Universal Music bagi memperluas potensi dan sokongan kepada klien kami,” kata Faizal Tahir.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim pula berkata kerjasama ini adalah pelaburan dalam komuniti muzik tempatan yang selari dengan komitmen syarikat untuk menyokong bakat sedia ada dan baharu.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Faizal, Mike dan pasukan mereka. Gabungan ini membuka lebih banyak ruang dari sudut komersial dan kreatif untuk artis-artis Faithful Music,” katanya.
Sebelum ini, kedua-dua syarikat telah bekerjasama dalam beberapa projek berjaya termasuk lagu Raya Pum Pang yang mencatat lebih sejuta tontonan dalam dua minggu serta Memang Smart AYE yang digunakan dalam kempen Samsung Malaysia.
“Kami teruja menyambut kehadiran Faithful Music ke dalam keluarga UMM dan tidak sabar untuk memperkenalkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi menerusi rangkaian kami,” kata Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara.