Biarpun sudah memulakan lembaran baru bersama suami tercinta, Tiko Aryawardhana, penyanyi dan pelakon, Bunga Citra Lestari (BCL) syukur hubungannya dengan keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair tetap utuh.
Kata orang, memiliki keluarga mertua yang memahami dan saling menyokong itu adalah rezeki. Itu jugalah apa yang dirasakan oleh BCL meskipun Ashraf tidak lagi di sisi.
Kata penyanyi popular Indonesia itu, kehadiran Tiko dalam hidupnya juga disambut baik oleh keluarga Ashraf bahkan, terharu apabila lelaki itu mendapat layanan yang baik daripada mereka.
“Alhamdulillah, hubungan saya bersama keluarga Ashraf masih lagi utuh. Ini kerana sewaktu berkahwin dengan Ashraf, saya tidak hanya mencintai dia malah keluarganya juga.
“Keluarga Ashraf sangat baik dan selalu menyokong saya dan menerima Tiko serta seluruh keluarganya dengan baik. Seperti perkahwinan kami di Bali, saya berasa seolah ada tiga ibu bapa.
“Ibu bapa saya, Ashraf dan Tiko bersatu dalam satu majlis yang sama membuatkan saya rasa seperti memiliki keluarga yang besar. Mungkin juga tidak semua orang dapat rasakan. Perasaannya sangat indah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Cinta Sejati itu turut menyifatkan keharmonian tersebut terbina kerana kematangan setiap ahli keluarga dalam menyokong antara satu sama lain.
“Keutuhan hubungan itu mungkin kerana segalanya sudah terbina dengan baik sejak dari awal. Semuanya mempunyai pengertian yang baik lebih-lebih lagi kita semua sudah dewasa.
“Jadi, tidak ada cemburu, tiada iri hati kerana yang wujud hanya bagaimana caranya kita saling memberi serta menyokong satu sama lain,” jelasnya.
Pada 2 Disember 2023, BCL kembali bergelar isteri kepada Tiko setelah tiga tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selepas pemergian Allahyarham Ashraf yang meninggal dunia dalam tidur akibat serangan jantung.
INTIMATE CARA BCL
Bakal mengadakan konsert pada 27 September ini, BCL mengakui dirinya tidak mahu terburu-buru untuk mengadakan konsert berskala besar seperti rakan-rakan seperjuangannya dari Indonesia.
Menurut BCL, dia lebih gemar mengadakan konsert yang intimate dan mempersembahkan setiap karyanya dengan penuh penceritaan kepada peminat.
“Pada saya, saya masih ada banyak yang ingin diceritakan melalui lagu-lagu yang hanya akan lebih berkesan kalau konsert itu intim.
“Ini kerana, mungkin gaya saya menyanyi memang bercerita. Jadi ia berkesan lebih baik dalam skala yang lebih kecil.
“Kalau misalnya persembahan yang besar-besar begitu, bagi saya, saya jalankan mungkin hanya di festival sahaja. Itu lebih seronok dan lebih bersemangat,” katanya.
BCL berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media dan pengumuman konsert BCL Eternal Love Timeless Romance yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang berusia 42 tahun itu, persembahan yang diadakan secara intim membuatkan dirinya berasa lebih dekat dengan peminat di Malaysia.
Namun, dirinya juga tidak menolak kemungkinan untuk melakukan konsert yang berskala lebih besar apabila tiba waktu yang tepat suatu hari nanti.
“Setiap kali berada di Malaysia, saya sentiasa berasa ada hubungan yang sangat dekat di hati. Jadi, bila kerjaya saya sudah sejauh ini, saya percaya untuk menyampaikan cerita dari lagu-lagu sendiri, itu masih lebih berkesan kalau saya buat yang intim.
“Tetapi saya tidak menutup kesempatan kalau suatu hari nanti tiba-tiba hati berkata ingin membuat sesuatu yang lebih besar skalanya. Kita menyanyi bersama peminat dalam satu stadium. Saya mahu juga lakukannya satu hari nanti,” ujarnya.
Selain BCL, Konsert BCL Eternal Love Timeless Romance anjuran Pulse Project Asia itu juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran artis undangan Jaclyn Victor dan Dennis Lau.-UTUSAN