KUALA LUMPUR: Pelakon, Ramona Zamzam mendedahkan, lelaki yang dipanggil sebagai ayah sejak kecil bukan bapa kandungnya yang sebenar.
Dalam satu perkongsian di platform podcast Bukak Mulut, Ramona mengakui bahawa dia tidak pernah mengenali ayah kandung sejak kecil kerana ibu bapanya berpisah ketika dia masih bayi.
“Sebenarnya, lelaki yang saya panggil ayah selama ini bukanlah ayah kandung saya. Dia adalah ayah tiri saya.
“Perkara ini saya rahsiakan sejak sekian lama. Tapi sekarang saya sudah sampai ke satu fasa dalam hidup di mana saya rasa tidak mengapa jika orang tahu,” katanya.
Menurut Ramona, dia tidak pernah bertemu ayah kandungnya dan hanya sempat bercakap sekali melalui telefon ketika masih bersekolah rendah.
“Saya cuba cari dia masa kecil, dan pernah bercakap di telefon sekali. Tapi dari cara dia bercakap, saya dapat rasa dia langsung tak berminat nak jumpa saya. Seolah saya sahaja yang teruja nak jumpa dia.
“Masa itu, mak dah kahwin dengan ayah tiri. Tetapi semasa bercakap dengan ayah kandung di telefon ketika itu, saya masih ingat dia cakap
‘Mak awak kerja, mak ada duit, jadi biarlah mak jaga awak.’
“Dari situ saya sedar, dia memang tak ambil peduli pasal saya, dia tak kisah pun pasal anak dia dan tiada usaha pun hendak cari saya.
“Saya rasa perkara itu telah menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan kehidupan,”katanya.
Bagaimanapun, Ramona mengakui dirinya bertuah kerana dibersarkan oleh seorang ayah tiri yang sangat penyayang dan bertanggungjawab.
“Ayah tiri saya, Zamzam, sangat istimewa dalam hidup saya. Walaupun bukan ayah kandung, tapi hubungan kami sangat rapat.
“Dialah yang membesarkan saya dan memberikan kasih sayang seperti anak sendiri,” katanya.
Tambah Ramona, dia kini berada di fasa hidup yang lebih menghargai masa bersama keluarga, terutama selepas bergelar ibu selain keadaan ayah tirinya yang mula sakit.
“Sekarang fokus saya adalah kepada keluarga, terutamanya ayah. Keadaan kesihatan ayah yang semakin merosot dan lumpuh menjadikan perjalanan ini sangat mencabar dan menyedihkan.
“Ia satu perjalanan yang benar-benar mencabar buat saya yang orang lain tak tahu,”katanya.
Bagaimanapun, Ramona percaya segala yang berlaku sejak kecil telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang kuat dan berdikari sehingga ke hari ini.