PETALING JAYA: Akim & The Majistret (ATM) berjaya menghiburkan hampir 5,000 penonton menerusi konsert eksklusif ATM Rampas Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza pada malam Sabtu lalu.
Persembahan yang dibahagikan kepada empat segmen itu menampilkan lebih 20 buah lagu termasuk Terlalu Mudah, Gasoline, Anugerah, Cinta, Potret dan lagu penutup yang paling dinanti-nantikan, Rampas.
Sorakan penonton bergema sebaik sahaja segmen pembukaan dimulakan, menandakan keterujaan mereka menyaksikan persembahan bertenaga daripada Akim bersama rakan pemuziknya Zimi, Freddy, Safwan, Gjie, Afiez dan Fairuz yang telah mengukuhkan jenama ATM selama 11 tahun.
Kemerduan suara Akim yang disokong permainan muzik yang mantap menjadikan keseluruhan persembahan berlangsung lancar dan berkesan. Celoteh bersahaja Akim dan Zimi turut menceriakan suasana dan menambah keakraban antara kumpulan itu dan penonton.
Akim ketika ditemui selepas konsert meluahkan rasa terharu dan gembira dengan sambutan luar biasa daripada para peminat.
“Kami sangat bersyukur. Tak sangka sambutan penonton begitu hebat. Ia benar-benar beri semangat untuk kami teruskan perjuangan,” katanya ringkas.
Konsert anjuran Showtag Entertainment dan Juragan itu turut menerima tajaan daripada jenama seperti DRUM, Pop Meals dan Monster, dengan kerjasama rasmi ERA, Sinar dan THR Gegar serta Astro Gempak sebagai rakan media sosial.