Ralat tak sempat melawat Allahyarham Zaleha ketika hayatnya masih ada - Haiza - Utusan Malaysia

Ralat tak sempat melawat Allahyarham Zaleha ketika hayatnya masih ada – Haiza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLAND: Penyanyi dan penyampai radio, Haiza mengakui terkilan tidak berkesempatan untuk menziarah penyanyi dangdut popular era 1980-an, Alllahyarham Zaleha Hamid ketika hayatnya masih ada.

Menurut Haiza atau nama sebenar Rohaizah Nordin, 45, perkara itu berlaku disebabkan kesibukannya bekerja.

“Rasa ralat juga sebab setiap kali balik Johor, Haiza memang nak melawat, nak pergi jumpa Mama Leha (Zaleha) yang sedang sakit.

“Tapi tak tahulah kenapa, bila sampai Johor, kita sibuk buat kerja lepas itu balik semula ke Kuala Lumpur.

“Tak teringat nak pergi walaupun niat itu ada,” katanya ditemui pada majlis sambutan Haiza 30 Tahun Dag Dig Dug yang diadakan di sini, kelmarin.

Kongsi penyampai Kool 101 itu, sepanjang mengenali Allahyarham Zaleha, Ratu Dangdut itu memiliki keperibadian mulia dan sangat disenangi ramai.

Malah beliau juga seorang yang berdikari terutama dari segi menjaga penampilan diri.

“Bila dapat khabar menerusi kumpulan Whatsapp menyatakan Mama Leha sudah tiada, terus teringat macam-macam benda iaitu arwah seorang yang baik, kelakar dan banyak memberi nasihat.

“Saya pernah buat satu persembahan makan malam dan saya cakap saya nak jemput Mama Leha dan Lan Solo.

“Saya tanya arwah nak nyanyi lagu apa? Kemudian arwah tanya soalan yang serupa pada saya. Bila saya cakap saya nak nyanyi semua lagu dia, sambil berseloroh dia cakap kalau begitu dia nak nyanyi lagu apa (ketawa).

“Saya pula memang minat dia. Jadi kenangan seperti itulah yang menerpa dalam ingatan. Beliau juga suka bergurau dan gemar menyantuni peminat.

“Kalau bab bersiap, beliau akan buat sendiri tanpa bantuan orang lain seperti urusan baju serta soleka,”katanya.

Selain itu, kongsi Haiza lagi, dia juga sentiasa mengingati kata nasihat yang pernah dititipkan penyanyi Dangdut Reggae itu kepadanya sebelum ini.

“Arwah banyak beri nasihat namun yang paling berkesan adalah dari segi cara melayan peminat.

“Beliau selalu ingatkan saya yang peminat adalah orang yang memanjangkan hayat kita dalam industri. Memang selalu kena jaga (peminat),” katanya.

Pada 19 Jun lalu, pemilik nama sebenar Siti Zaleha Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.30 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60 dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.

Sebelum ini, media melaporkan keadaan kesihatan Zaleha yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN