KUALA LUMPUR : Bintang K-pop kelahiran Malaysia, Isaac Voo, yang dikenali sebagai ahli kumpulan SKYE (IN2IT) di Korea Selatan, mengakui teruja menyertai Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN) di Lapang Sasar Mawilla, Markas Wilayah Laut 1.
Menurutu Isaac, penyertaannya itu adalah salah satu cara untuk menanam rasa cinta dan semangat patriotik kepada negara.
Berkongsi mengenai pengalamannya di kem, kata Isaac, dia bersyukur kerana penyertaannya di PLKN berlaku pada waktu yang sesuai kerana
rakan-rakan SKYE telah selesai menjalani latihan ketenteraan di Korea Selatan.
“Saya gembira sangat dapat sertai PLKN 3.0 ini dan momen ini tak akan saya lupakan. Memang dari dulu lagi teringin nak rasa macam mana jadi abang askar.
“Selama ini tengok kawan-kawan Korea masuk khidmat ketenteraan dan kali ini saya sendiri rasa macam ‘askar Malaysia’! Memang tak sangka dapat peluang pakai baju celoreng dan pegang senjata sebenar Rifle M16 lagi itu!
“Tapi jangan risau, saya bukan nak tukar profesion. Apa yang boleh saya katakan, PLKN 3.0 memang seronok. Rugi kalau anda tak sertai,”katanya.
Isaac Voo merupakan salah seorang selebriti tanah air yang mempromosikan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 dalam sasaran untuk menarik lebih ramai anak muda turut serta dalam program tersebut.
Antara selebriti lain yang terlibat ialah Fattah Amin, Diana Danielle, Syaidatul Afifah, Amira Othman serta beberapa pempengaruh media sosial yang lain.