LOS ANGELES : Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Taylor Swift, mencipta sejarah peribadi dan industri apabila mengumumkan dia kini secara rasmi memiliki semula hak milik penuh terhadap keenam-enam album asalnya yang pernah menjadi isu besar dalam industri muzik global.
Album-album yang dimaksudkan ialah Taylor Swift (2006), Fearless (2008), Speak Now (2010), Red (2012), 1989 (2014), dan Reputation (2017), yang pada mulanya berada di bawah naungan Big Machine Records sebelum dijual kepada pihak ketiga tanpa persetujuannya.
Menerusi satu kenyataan di laman sesawangnya, Taylor meluahkan rasa syukur selain mengakui penat lelah selama bertahun-tahun memperjuangkan haknya sebagai pemilik karya seni sendiri akhirnya berbayar.
“Saya hampir berputus asa untuk percaya bahawa hal ini akan berlaku, selepas 20 tahun barulah ia terjadi. Hari ini, barulah saya dapat katakan segala muzik yang pernah saya hasilkan, kini menjadi milik saya.
“Termasuk semua video muzik, filem konsert, seni kulit album, fotografi, lagu-lagu yang belum diterbitkan, kenangan, keajaiban, kegilaan setiap era. Seluruh hasil karya hidup saya.
“Ini adalah kemenangan untuk semua artis yang pernah berjuang untuk mendapatkan semula suara dan hak mereka,” katanya.
Dalam pengumuman tersebut, Taylor turut berterima kasih kepada firma pelaburan Shamrock Holdings yang telah memberi kerjasama memudahkan proses pemilikan semula itu.
Kontroversi mengenai isu pemilikan rakaman asal (masters) Taylor Swift bermula pada Jun 2019 apabila syarikat Ithaca Holdings membeli Big Machine Label Group iaitu syarikat yang memiliki rakaman asal enam album pertama Taylor dengan anggaran nilai sekitar $300 juta.
Menurut anggaran ketika itu, katalog muzik Taylor sahaja dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah tersebut.
Sepanjang beberapa tahun, Swift secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap urusan pemilikan rakaman tersebut yang berpindah tangan tanpa penglibatannya.
Sebagai tindak balas, pada tahun 2019, Taylor memulakan proses merakam semula semua album Big Machine itu sebagai usaha untuk mendapatkan semula kawalan ke atas lagu-lagunya dari sudut komersial.
Perjalanan rakaman semula itu bermula dengan Fearless (Taylor’s Version) pada April 2021, diikuti oleh Red (Taylor’s Version) pada November 2021.
Pada tahun 2023, Taylor melancarkan Speak Now (Taylor’s Version) dan 1989 (Taylor’s Version), yang kedua-duanya menduduki carta teratas Billboard 200.
Bagaimanapun peminat masih menantikan versi rakaman semula bagi album sulung berjudul Taylor Swift dan album terakhirnya di bawah Big Machine, Reputation.
Sejak meninggalkan Big Machine pada November 2018, Taylor telah menerbitkan lima album baharu di bawah Republic Records: Lover (2019), Folklore (2020), Evermore (2020), Midnights (2022), dan The Tortured Poets Department (2024).
Taylor juga telah melancarkan dan menyelesaikan konsert jelajah terbesar dalam kerjayanya, The Eras Tour, yang mencipta sejarah baharu dalam industri konsert dan secara signifikan meningkatkan penstriman serta jualan keseluruhan katalognya, termasuk versi rakaman semula.