CALIFORNIA : Penyanyi antarabangsa, Demi Lovato selamat menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan, iaitu Jordan Jutes Lutes, dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan semalam.
Majlis tersebut berlangsung sekitar jam 4 petang dan dihadiri oleh keluarga serta rakan terdekat pasangan itu.
Demi tampil anggun mengenakan gaun pengantin khas rekaan Vivienne Westwood yang berwarna putih mutiara dan diperbuat daripada sutera satin berat dengan potongan korset dan garis leher ‘off-the-shoulder’.
Gaun tersebut direka khas melalui lima sesi penyuaian bersama pasukan couture Westwood yang datang dari London ke Los Angeles.
Untuk majlis resepsi, Demi menukar kepada gaun kedua rekaan Westwood yang dinamakan sebagai Audrey, diperbuat daripada sutera satin gading dengan korset berlapis dan dihiasi mutiara.
Pasangan ini mula berkenalan pada Januari 2022 semasa bekerjasama dalam lagu Substance untuk album Demi bertajuk Holy Fvck.
Hubungan mereka berkembang dari persahabatan kepada percintaan, dan mereka mengumumkan pertunangan pada Disember 2023.
Sebelum ini, Demi pernah menjalin hubungan cinta dengan beberapa nama artis terkemuka namun hubungan tersebut tidak berpanjangan.
Antara bekas kekasihnya termasuk Joe Jonas, Wilmer Valderrama, Luke Rockhold, Henry Levy, Mike Johnson dan Max Ehrich.