25 lokasi panas Op Selamat Tahun Baharu Cina

25 lokasi panas Op Selamat Tahun Baharu Cina

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Sebanyak 25 lokasi panas dan 46 titik hitam dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lebuh raya utama sempena Op Selamat Sempena Tahun Baharu Cina 2026 bermula pada 15 hingga 20 Februari ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, Op Selamat 25 yang mengangkat tema, ‘Keselamatan Diutamakan, Kongsi Perjalanan Kongsi Keselesaan bertujuan bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah dengan beberapa elemen-elemen ditekankan.

Katanya, antaranya dengan meletakkan polis trafik di lokasi kerap berlaku kesesakan lalu lintas dan kawasan banyak kemalangan dan pemantauan udara. 

“Bagi lebuh raya utama, sebanyak 25 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti di lebuh raya utama.

“Selain itu, sebanyak 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi black spot seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di kawasan Rehat dan Rehat (R&R) Jejantas Sungai Buloh di sini hari ini. 

Menurutnya, pihak polis akan menumpukan enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Jelasnya, antara punca utama berlakunya kemalangan adalah cara pemanduan dengan mengekor rapat kenderaan di hadapan, tidak peka dan prihatin sehingga terbabas sendiri dan  tidak perasan ada kenderaan atau objek lain di hadapan atau di sebelah kenderaan.

“Ia berdasarkan kajian dari jumlah kemalangan yang direkodkan dalam musim perayaan tahun ini. Faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan ialah cuai keluar atau masuk simpang, cuba memotong kenderaan atau tukar lorong serta lain-lain punca. 

“Selain faktor sikap, teknikal kenderaan serta bentuk muka bumi jalan raya juga menjadi sebab kepada kegagalan pemandu untuk mengawal kenderaan sehingga berlakunya kemalangan.

“Bagi memastikan Op Selamat 25 berjalan lancar, sebanyak 6,930 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang tempoh terbabit,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar memastikan kenderaan mereka dalam tahap terbaik bagi mengelakkan kemalangan berlaku.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN