KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah dan menengah kekal relevan, seimbang serta bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihak kementerian komited memastikan semua kandungan sejarah disampaikan secara objektif kepada murid bagi membina pemahaman menyeluruh mengenai perjalanan negara tanpa sebarang kepentingan politik.
“Ini adalah pendirian KPM. Kurikulum Sejarah harus kekal objektif dan seimbang supaya murid dapat memahami sejarah negara dengan tepat dan tidak dipengaruhi sebarang ideologi politik,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang menekankan supaya KPM berhati-hati dalam memasukkan kandungan subjek Sejarah baharu agar bebas daripada pengaruh politik kepartian. –UTUSAN










