MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka masih belum membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi dengan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, rundingan rasmi mengenai kerjasama atau pembahagian kerusi sama ada dengan komponen sedia ada atau parti lain masih belum dimuktamadkan.
Beliau yang kini memangku jawatan Pengerusi MPN Melaka menegaskan, sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti selepas perbincangan menyeluruh dengan semua komponen PH.
“Sebarang rundingan politik hanya akan dilakukan selepas kedudukan dalaman benar-benar kukuh supaya parti mempunyai kelebihan jelas ketika berada di meja perundingan. Apabila berunding, kita mesti berada dalam keadaan yang kuat dengan matlamat dan perkara yang jelas untuk dicapai. Jadi, asasnya ialah kekuatan dalaman,” katanya selepas menyerahkan cek cura berjumlah RM1 juta bagi pembinaan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh di sini hari ini.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan, sama ada PKR bertanding atau sebaliknya, jentera parti perlu terus digerakkan bagi membantu rakan sekutu dan memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
Katanya, setakat ini PKR Melaka memberi tumpuan penuh kepada memperkemas dan memperkukuh jentera parti di semua peringkat. Langkah ini dianggap penting untuk memastikan persiapan menghadapi PRN berada pada tahap optimum.
“Persediaan awal lebih menumpukan kepada penyusunan serta pemantapan struktur dalaman termasuk di peringkat bahagian dan pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Adam Adli menegaskan, dalam apa juga keadaan menjelang PRN nanti, semua parti perlu bersedia sepenuhnya, dengan keutamaan kini, memperkukuh jentera terlebih dahulu bagi memastikan setiap strategi pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar.-UTUSAN










