MTUN bantu tangani ketidakpadanan, latihan semula graduan

MTUN bantu tangani ketidakpadanan, latihan semula graduan

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kewujudan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) membantu mengurangkan keperluan latihan semula atau ‘reskilling’ dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.

Ia juga mampu menangani isu ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch) yang sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kewujudan universiti teknikal amat penting bagi memastikan negara tidak terus berdepan masalah graduan tidak memenuhi keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E).

“Dengan adanya MTUN, ia membantu mengurangkan isu ‘retraining’ atau sekarang dipanggil ‘reskilling’ dalam kalangan pelajar atau pun graduan,” katanya berucap pada Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 di sini, hari ini.

Zambry berkata, tanpa universiti teknikal, negara akan terus berdepan isu ketidakpadanan kemahiran apabila graduan yang dilahirkan tidak benar-benar bersedia untuk memenuhi tuntutan semasa industri.

Beliau menjelaskan, dalam bidang seperti E&E, pemahaman teknikal yang mendalam amat diperlukan kerana teknologi yang digunakan di kilang dan sektor pembuatan sentiasa berubah dan semakin canggih.

“Sekiranya tidak ada universiti teknikal ini, maka negara kita akan menghadapi masalah ‘skills mismatch’ terutama dalam bidang-bidang teknologi tinggi (advanced technology).

“Kita ingat yang keluar daripada bidang E&E sudah cukup kompeten. Tetapi apabila kita hantar mereka ke kilang, rupa-rupanya kilang berkenaan mengaplikasikan teknologi yang berbeza dan lebih terkini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara MTUN, universiti teknikal dan sektor industri diperkukuh bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Kita harap dengan adanya kerjasama MTUN, kilang dan sektor pembuatan ini, kita dapat elakkan masalah yang dipanggil sebagai ‘skills mismatch’,” katanya.

Zambry turut menyentuh isu pengangguran graduan dan guna tenaga tidak penuh yang menurutnya perlu diberi perhatian serius.

“Laporan yang saya terima daripada politeknik menyatakan 97 hingga 98 peratus graduan mendapat kerja. Tetapi saya tanya mereka, beritahu perkara sebenar, adakah 98 peratus itu betul-betul bekerja dalam bidangnya atau sekadar mendapat pekerjaan ‘underemployment’ maknanya dia bekerja tetapi tidak dalam bidang dia. Di situlah berlakunya ‘mismatch’,” jelasnya.

Beliau menegaskan, negara juga tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada tenaga kerja teknikal asing dan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga mahir tempatan dalam bidang berteknologi tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN