LAMA pelakon, Ayu Raudhah menghilang dari dunia seni. Sejak mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak, Zaquan Adha 13 tahun lalu, Ayu terus memperlahankan kerjaya lakonan.
Ketiadaan Ayu mewarnai industri seni menimbulkan tanggapan pelakon ini sudah meletakkan titik noktah terhadap kerjaya lakonannya.
Ada juga beranggapan Ayu kini selesa bergelar usahawan dengan menembangkan perniagaan Sambal Geprek AR, sekaligus bertukar bidang daripada lakonan kepada keusahawanan sepenuh masa.
Tanggapan itu dinafikan pelakon berusia 40 tahun ini. Tiada istilah bersara dalam kamus kerjayanya.
Kata Ayu, dia hanya berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada keluarga.
“Saya belum bersara, malah ada penerbit tawarkan berlakon, tapi tolak cara baik sebab saya rasa bukan masanya lagi untuk kembali berlakon. Anak-anak pun masih kecil lagi.
“Suami pun tidak pernah melarang, malah dia suka wanita bekerjaya. Saya memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Sambutan terhadap produk sambal saya pun Alhamdulillah memberangsangkan. Saya bersyukur, ada pendapatan tanpa perlu berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Kata Ayu, sampai masa dia akan berlakon semula. Dan, dia akan pastikan penglibatannya dalam dunia lakonan ini adalah bersifat sepenuh masa, bukan sekadar persinggahan sementara.
“Kalau saya nak berlakon semula, saya kena betul-betul bersedia mental dan fizikal.
“Kena sedia untuk berikan komitmen, saya tak mahu bila dah masuk semula, keluar masuk balik,” jelasnya.
REZEKI KETENTUAN TUHAN
Pengumuman Zaquan yang bersara daripada arena bola sepak mengejutkan ramai pihak.
Sebagai isteri, Ayu tetap menyokong apa juga keputusan dibuat suaminya demi kebaikan mereka sekeluarga.
Malah kata Ayu, dia percaya rezeki mereka sekeluarga tetap ada. Cuma perlu berusaha dan bekerja keras.
“Saya percaya pada rezeki. Demi Allah, selepas berkahwin, rezeki suami bertambah luas, bukan setakat bermain bola sahaja.
“Dia terima gaji bulanan, tetapi dikurniakan rezeki yang lain juga.
“Malah selepas umumkan bersara, suami ditawarkan pula menjadi jurucakap koleksi pakaian sukan. Rezeki memang sentiasa ada,” ujarnya.










