KUALA LUMPUR : Pelakon, Datuk Adi Putra, mengakui tidak terkejut dengan isu penyondol yang berlaku membabitkan selebriti tempatan sekali gus menjadi buah mulut ramai kebelakangan ini.
Menurut Adi atau nama sebenarnya, Mohamad Hadi Putera Halim, 43, perkara tersebut malah telah wujud dan berlaku sejak dahulu lagi.
Cuma, katanya, keadaan kini berbeza kerana wujud dan pesatnya penggunaan media sosial yang menyebarkan gosip seperti itu.
“Bagi saya, isu penyondol atau skandal di set penggambaran ini bukan satu perkara baharu pun. Semua orang tahu sejak azali lagi sudah wujud isu seperti ini.
“Cuma bezanya dalam era media sosial ini, maklumat tersebar dengan lebih cepat berbanding zaman dulu, jadi senanglah orang ramai dapat tahu dan bercakap tentang itu.
“Memang saya tidak terkejut sebab pada saya, itulah realiti hakikat dunia seni kita,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, kata Adi, mengenai kes membabitkan penyanyi Aliff Aziz, pelakon filem Mat Kilau itu enggan masuk campur urusan peribadi orang lain selain berasakan dirinya bukan di posisi yang berhak memberikan pendapat.
Pada masa sama, aktor kelahiran Singapura yang pernah terpalit dengan kontroversi seakan sama itu berharap agar tohmahan yang dilemparkan dapat dijadikan sesuatu positif.
“Saya tak ada apa nak komen sebab masing-masing ada pilihan dan pandangan berbeza. Hanya tuan badan saja yang tahu.
“Saya tidak boleh menilai, hanya satu yang boleh menilai (Allah SWT) tapi satu perkara boleh saya cakap, bersempena bulan Ramadan ini, menutup aib lebih afdal.
“Saya sendiri pernah ditohmah suatu ketika dahulu. Jadi tohmahan ini kena ambil dari sudut positif. Peganglah pada prinsip bahawa bumi ini bukan kita punya tetapi milik Allah SWT,”katanya.
Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan Ruhainies ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang hari sama dan bakal didakwa di mahkamah syariah. – UTUSAN










