Teguran buat junior; Perli-perli bukan cara saya - Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Teguran buat junior; Perli-perli bukan cara saya – Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempoh 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni lakon bagaimanapun bukanlah lampu hijau untuk Elly Mazlein selesa mendabik dada dan berlagak hebat di kalangan pendatang-pendatang baharu dalam arena seni hiburan.

Pun begitu, dengan segala pengalaman dan ilmu yang diraih sepanjang tahun-tahun perjuangannya membina kerjaya dalam dunia seni, rasanya tiada salah untuk Elly sebagai seorang senior, menegur beberapa perkara sebagai tanda sayang dan sokongannya kepada adik-adik pelapis dalam dunia lakonan.

Ini kerana, pada pengamatan pelakon berusia 44 tahun ini, segelintir pendatang baharu dalam industri seni ada yang gagal menguruskan kerjaya mereka dengan baik selain gemar bersikap sambil lewa apabila menyentuh soal kerja.

“Berdasarkan pengamatan, saya nak pesan juga kepada adik-adik yang mahu berjinak dalam dunia lakonan. Pertama, jangan sesekali menyusahkan produksi. Kalau rasa tak boleh datang awal atau tak mampu nak tepati waktu penggambaran, lebih baik jangan ambil ‘job’ itu.

“Saya juga tak setuju jika ada yang menganggap di set penggambaranlah waktu yang tepat untuk belajar lakonan dan sebagainya. Bagi saya, kalau nak berlakon, masuk kelas betul-betul.

“Kalau dah cukup ilmu tak apa, yang lain boleh diperkemas semasa di lokasi. Kalau kita tahu diri tak sempurna, jangan buang masa dan susahkan pihak produksi. Sebab itulah perkara paling pokok adalah jaga bab ‘calltime’,”katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Elly lagi, dia sentiasa percaya bahawa setiap tugas yang diberikan adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap pelakon.

Bahkan, jelas Elly, dia juga kurang bersetuju seandainya seseorang pelakon itu mengambil banyak tugasan watak untuk beberapa naskhah sekali gus namun gagal menguruskan jadual sendiri dengan baik.

“Ini adalah antara perkara yang perlu dipandang serius. Bila dah terima banyak projek sekali gus, kena lah bertanggungjawab. Ini kerana kita bekerja ini melibatkan ramai orang dan kena ada disiplin.

“Kalau ada jadual lain dan bertindih waktu, itulah yang kita perlu elak. Jangan sampai menyusahkan orang. Macam saya sendiri pun tak akan ambil kerja lakon yang saya tengok tak sesuai dengan jadual.

“Setelah sekian lama tak ‘shooting’, kali terakhir, drama Kampung People itulah yang saya buat dan kemudian rehat sekejap selama tiga tahun. Bulan ini baru saya masuk satu lagi penggambaran baru untuk naskhah komedi raya,”katanya.

Bagaimanapun, menegur bukan bermakna Elly bersikap suka menyindir. Kata anak kelahiran Perak ini, nasihat yang diberikan ini adalah ikhlas dari lubuk hati.

“Saya ini, jenis orang yang kalau bercakap saya tak suka perli-perli orang. Itu bukan cara saya. Teguran yang saya berikan ini adalah secara umum. Saya percaya perli atau menyindir itu adalah satu sikap yang tak elok.

“Pada saya, jika sesuatu teguran itu adalah untuk kebaikan, saya akan cakap. Tetapi ini adalah antara tips yang saya nak kongsikan kepada pelakon-pelakon baharu supaya mereka lebih berjaya dalam bidang ini.

“Kadangkala, mereka ini memiliki bakat, tetapi bermasalah pula dari segi ‘call time’ dan sebagainya. Sayanglah sebab ramai orang lain nak berada di kedudukan kita tetapi tiada peluang.

“Jadi janganlah kita yang sudah ada peluang ini dengan mudahnya mensia-siakan dan buat sambil lewa,”katanya.

Tambah Elly lagi, secara peribadi, dia sangat positif dengan kehadiran ramai bakat-bakat baharu dalam bidang seni hiburan.

Bagaimanapun, kata pelakon ini, seandainya masing-masing lekas hanyut, kerjaya yang dibina dengan mudahnya akan runtuh di tangan sendiri.

“Saya suka dengan kehadiran bakat-bakat baharu dalam industri sekarang. Walaupun mungkin tips yang saya berikan ini tidak seberapa, tetapi saya harap ia dapat dimanfaatkan dengan baik oleh mereka yang nak berjaya,”katanya.

Dalam pada itu, Elly berkata, dia juga akan kembali dalam bidang pengacaraan tidak lama lagi setelah diberi kepercayaan oleh sebuah produksi untuk mengendalikan program hiburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN