LOS ANGELES: Sejak ditayangkan minggu lalu, filem adiwira terbaharu, Madame Web dilaporkan memperolehi rating rendah daripada para pengkritik dan penonton.
Mengintai laman sesawang pemberian markah filem, Rotten Tomatoes, filem Madame Web hanya memperolehi 15 peratus dengan 124 ulasan daripada pengkritik.
Jumlah itu menjadikan Madame Web arahan S.J Clarkson antara filem daripada Sony’s Spider-Man Universe (SSU) yang mendapat respons paling teruk.
Markah dan rating yang diperoleh filem berkenaan menyamai filem Morbius pernah diterbitkan SSU pada tahun 2022.
Beberapa ulasan yang dikongsikan mengkritik persembahan pelakon utama Madame Web iaitu Dakota Johnson sebagai Cassandra.
Beberapa pengulas beranggapan pemilihan Johnson sebagai Madam Web adalah kesalahan besar dalam filem ini.
“Johnson hanya mampu membawakan watak bersahaja seperti dalam 50 Shades of Grey dan Suspiria. Tapi lakonannya dalam filem ini adalah sebuah kesilapan,” tulis Richard Lawson yang juga pengulas filem daripada media Vanity Fair.
Manakala Esther Zuckerman dari Bloomberg pula mengatakan lakonan Johnson gagal memberikan impak.
“Dia nampak sedikit malu semasa melontarkan dialog. Pertuturannya seperti tidak kedengaran, terlalu mencuba selain plot cerita yang tidak memberi apa-apa kesan,” tulisnya.
Madame Web mengisahkan tentang seorang pembantu perubatan, Cassandra yang hampir meninggal dunia kerana terjatuh ke dalam air akibat kemalangan kereta.
Cassandra memiliki kebolehan meramal masa depan dan mempunyai firasat yang kuat. Madame Web ialah nenek kepada Spider Woman keempat, Charlotte Witter.
Madame Web mula ditayangkan di Malaysia bermula 14 Februari lalu.