Kecam sampai anggap tua itu adalah satu dosa - Datuk Aishah Ariffin - Utusan Malaysia

Kecam sampai anggap tua itu adalah satu dosa – Datuk Aishah Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Aishah Ariffin mendedahkan, dia menolak untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi pada masa akan datang berikutan sudah penat melayan kecaman berbentuk toksik yang seolah-olah menjadi makanan warganet.

Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 58, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia perlu memberi keutamaan kepada aspek ketenangan hidup selain mahu beribadah.

Bagaimanapun, kata bekas peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV) ini, dia tetap akan menerima tawaran nyanyian sekiranya ada untuk mana-mana persembahan yang bersesuaian.

“Rasanya tak apalah, tak mahu masuk dah. Bukan apa, saya perasaan daripada kecaman yang dilemparkan, orang yang menulis dan melemparkan kata-kata itu macam menganggap menjadi tua adalah suatu dosa, menunjukkan kita sudah tidak ada hormat lagi kepada golongan berusia.

“Kau dah tua, dah kedut dan bermacam-macam lagi. Kalau saya nak lawan satu-satu, ia akan menambahkan lagi stres pada diri.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah apabila duduk di dalam suasana dan keadaan penuh toksik, saya akan buang segala toksik itu setakat saya boleh dan duduk senyap sahaja,” katanya.

Tambah Aishah, dia sedar ada kelebihannya penggunaan teknologi media sosial namun jika disalahgunakan, ia membawa keburukan berbanding kebaikan.

“Saya lihat ada kebaikan dan keburukan media sosial ini,satu ia boleh mendekatkan peminat dengan artis atau selebriti kesayangan mereka. Namun, ia juga boleh memberi ruang kepada masyarakat untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka mahu.

“Sampai ada antaranya hilang adab dan rasa hormat. Mereka tidak fikir ini, kita ini mak orang, tok orang atau apa. Mereka main bedal sahaja bila berikan komen. Malah, adakalanya mereka tak tahu pun hujung pangkal cerita.

“Kalau ikut hukum agama pun, kita tak boleh herdik orang atau maki orang. Apatah lagi, bila kita sendiri tidak berada dalam sesuatu kejadian,” katanya.

Aishah berkata demikian sewaktu ditemui di majlis Kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, tambah Aishah, bagi sesiapa yang benar-benar mengenali dan mengikuti perkembangan kerjaya seninya pasti tahu bahawa dia adalah seorang individu yang memiliki hati cukup sensitif.

“Tengok video kucing di tepi jalan pun saya boleh menangis sampai bengkak-bengkak mata, inikan pula komen berbentuk kecaman. Tetapi bila saya duduk dan berfikir (kecaman), rasa macam duduk di planet lain.

“Mungkin begitu caranya orang sekarang selain mungkin disebabkan wujudnya jurang generasi. Lalu ia menyedarkan saya bahawa, sebagai penghibur pun, saya tidak perlukan jutaan orang yang mengikuti saya di media sosial.

“Saya akan ‘block’ mereka yang menghantar komen keterlaluan walaupun ada orang kata itu biasalah. Tidak. Itu bukan biasa dan saya tidak akan menormalisasikannya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya