KUALA LUMPUR: Fasa pembangunan pasaran modal Malaysia perlu memberi keutamaan kepada aspek kualiti berbanding saiz, memandangkan para pelabur kini semakin mendambakan tadbir urus yang kukuh, pengagihan modal lebih baik serta strategi korporat yang jelas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersandarkan landskap tersebut, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbesar negara akan memperuntukkan modal bagi menyokong syarikat-syarikat yang menerima pakai inisiatif MY Value Up.
Beliau memperincikan tiga GLIC utama yang terlibat dalam komitmen tersebut iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
“Memang benar keuntungan itu penting. Namun dalam pasaran hari ini, sesebuah syarikat juga mestilah mempunyai kredibiliti, mampan serta bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, inisiatif MY Value Up bertujuan untuk beralih daripada budaya pasaran yang sekadar patuh kepada peraturan, kepada satu ekosistem yang berfokuskan kepada penciptaan nilai secara aktif.
Langkah itu bagi menggalakkan syarikat-syarikat korporat melihat melangkaui perolehan suku tahunan, selain membentangkan strategi jangka panjang mereka dengan lebih telus dan jelas.
“KWSP, PNB dan KWAP akan memperuntukkan sebahagian daripada modal mereka untuk menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen padu terhadap penciptaan nilai dan prinsip MY Value Up.
“Ini bagi memastikan syarikat yang mengamalkan tadbir urus lebih kukuh, pengagihan modal lebih baik dan standard ketelusan yang tinggi bukan sahaja diiktiraf oleh pasaran, malah oleh pelabur institusi terbesar di Malaysia,” tambah beliau.
Katanya, kerajaan mahu melihat syarikat-syarikat Malaysia mempunyai tadbir urus dan nilai pasaran yang lebih baik, sekali gus mampu menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau mahupun global.
Selain daripada konteks pasaran saham, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu pelaburan harus diukur daripada keupayaannya untuk mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Katanya, limpahan pertumbuhan ekonomi tersebut mestilah memberi manfaat secara menyeluruh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, golongan belia, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta komuniti luar bandar.
“Saya mahu pertumbuhan ini sampai kepada PKS, pelajar TVET, usahawan, belia, komuniti luar bandar dan pusat pertumbuhan wilayah kita. Pasaran modal yang kuat mesti menyokong bukan sahaja korporat besar, malah ekosistem perusahaan, inovasi dan peluang yang lebih luas,” katanya. –UTUSAN










