PETALING JAYA: Hasrat kerajaan untuk membenarkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu atau Pemanduan Autonomi Tahap 3 menjelang tahun 2030 bakal mencetuskan kecelaruan undang-undang yang serius sekiranya kerangka perundangan negara tidak dipinda segera.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, jurang paling kritikal yang dihadapi oleh Malaysia ketika ini bukan disebabkan oleh faktor kejuruteraan sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem perundangan sedia ada yang belum bersedia.
Katanya, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang diguna pakai sekarang ditulis berdasarkan satu andaian tunggal iaitu kenderaan mesti dikendalikan sepenuhnya oleh manusia.
“Sistem perundangan kita ketika ini langsung tidak mempunyai sebarang peruntukan membabitkan algoritma, pembangun perisian mahupun syarikat yang membekalkan sistem pemanduan sendiri jika berlaku sebarang kemalangan.
“Tanpa undang-undang yang jelas dan tepat, mahkamah akhirnya akan menjurus untuk menyalahkan manusia secara meluru walaupun pada hakikatnya mesin yang sedang mengambil alih pemanduan ketika itu.
“Ini bukan keadilan, ini adalah kecelaruan,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Legal Liability Vacuum Malaysia’s Autonomous Driving Groundworks’ yang telah dikemukakan kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin mendedahkan mengenai sasaran tahun 2030 bagi Pemanduan Autonomi Tahap 3, namun mengakui bahawa Malaysia masih belum memulakan sebarang perbincangan rasmi mengenai kerangka perundangan berkaitan teknologi itu.
Mengulas lanjut, Shahrim menjelaskan, ketiadaan undang-undang khusus dibimbangi akan mengheret sistem keadilan negara ke fasa ‘Moral Crumple Zone’.
Di bawah fasa itu, pihak mahkamah akan cenderung menyalahkan pemandu atau penghuni kenderaan yang paling dekat sekiranya berlaku kes kemalangan maut walaupun mangsa tidak mempunyai keupayaan untuk mencegah pelanggaran tersebut.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil kepada individu terlibat, malah secara tidak langsung menghapuskan tekanan komersial ke atas syarikat pengeluar untuk membina sistem kenderaan yang lebih selamat,” katanya.
Sehubungan itu kata Shahrim, enam perkara berikut perlu berlaku sebelum 2030 iaitu:
*Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengiktiraf sistem autonomi sebagai pemandu sementara dari sisi undang-undang.
*Wajibkan kota hitam Sistem Penyimpanan Data untuk Pemanduan Automatik (DSSAD) pada semua kenderaan autonomi, termasuk kenderaan ujian melalui arahan JPJ secepat mungkin.
*Tandatangani Regulasi Regulasi UNECE No. 157 iaitu piawaian antarabangsa yang mengikat untuk keselamatan Tahap 3.
*Mutakhirkan rangka kerja liabiliti tiga peringkat supaya mahkamah tahu dengan jelas siapa yang bertanggungjawab: pengeluar, pemandu atau kedua-duanya.
*Tambah baik kaedah insurans motor supaya pengeluar diwajibkan menyumbang premium bagi sistem yang menjadi tanggungjawab mereka.
*Perkasa MIROS, Cyber Security Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta percepatkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) untuk menyiasat nahas kenderaan autonomi secara forensik.
Shahrim turut mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Pemanduan Autonomi Kebangsaan bagi menghimpunkan pakar automotif, peguam, saintis dan syarikat insurans untuk merangka undang-undang tersebut sebelum dibawa ke Parlimen.
“Sasaran tahun 2030 adalah satu permulaan, bukannya garisan penamat. Laluan perjalanan mesti dibina terlebih dahulu sebelum mesin-mesin ini tiba di jalan raya kita,” katanya. – UTUSAN










