Sekarang kalau berpisah dengan anak, boleh meleleh air mata - Datuk Awie - Utusan Malaysia

Sekarang kalau berpisah dengan anak, boleh meleleh air mata – Datuk Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bakal menimang cahaya mata ketujuh, penyanyi dan vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, mengakui wujud perbezaan ketara dari segi pengalaman itu seandainya dibandingkan ketika dirinya berusia 30-an dengan 50-an kini.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, sebagai bapa di usia 50-an, keprihatinannya terhadap keperluan dan penjagaan anak lebih mendalam berbanding ketika menimang cahaya mata di waktu muda sebelum ini.

“Memang ada bezanya. Sekarang, saya lebih prihatin terhadap anak. Kalau dulu, di usia 30-an itu, macam lupa diri jugalah. Iyalah, kita muda lagi, tak begitu nak melihat anak. Selalu keluar rumah,kita rasa kononnya itu kerja.

“Padahal, tak perlu keluar rumah selalu pun. Dulu, sebulan keluar rumah pergi set penggambaran dan sebagainya pun buat bodoh saja, macam kau tak ada anak.

“Beza dengan sekarang ini, kalau tak tengok anak, berpisah tiga empat hari pun boleh meleleh air mata. Saya perasan, sekarang lebih fokus terhadap anak-anak,”katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter, di ibu negara, semalam.

Selain itu, mengulas mengenai kehamilan isterinya, kata Awie, dia dan Sharifah Ladyana sememangnya telah merancang untuk mencuba mendapatkan cahaya mata selepas memperolehi Putra Ahmad Andika yang kini berusia 3 tahun.

“Saya terima dengan hati terbuka dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT ini.
Sebenarnya, saya pernak cakap dengan isteri yang saya akan jaga badan dan kesihatan. Kalau tak, nanti pergi sekolah hantar anak orang cakap kita ini datuk dia pula.

“Itu sebenarnya satu cabaran untuk si tua ini jaga badan. Buat lelaki yang nak ada anak di usia tua, jangan kau buat anak lepas itu kau sakit. Kasihanlah pada isteri dan anak itu.

“Saya fikir, Tuhan bagi saya cabaran ini supaya saya jaga kesihatan diri demi membesarkan anak dengan sihat dan baik. Lagi pula, isteri baharu saya ini memang nak seorang lagi anak, kalau boleh anak perempuan pula,”katanya.

Ditanya mengenai reaksi anak-anak lain mengenai berita kehamilan isterinya itu, kata Awie, kesemua anak-anaknya tumpang gembira dan teruja menanti kehadiran adik baharu kelak.

Dalam pada itu, Awie berkongsi, meskipun dia menyediakan pembantu buat isterinya, ada ketika dia juga akan turut membantu menjaga anak dan mengakui tidak kekok melakukannya.

“Saya kalau tak ada kerja, memang akan buat. Cuma kalau ada show saja, saya tak boleh sebab kena dapatkan tidur yang cukup. Macam sekarang ini, ada latihan untuk konsert, memang saya kena dapatkan rehat yang cukup.

“Saya ada juga sediakan pembantu buat isteri. Sekarang ini jarang berada di rumah sebab latihan, jadi saya tak mahu isteri terkial-kial uruskan anak-anak di rumah. Tak salah pun carikan pembantu, sebab saya faham, menjaga anak ini bukan mudah, penat juga.

“Kasihan pada isteri. Bila tengok anak-anak membesar depan mata ini, barulah saya faham, mak saya jaga saya dulu macam mana. Maklumlah, saya ini buas juga.

“Masih saya ingat, bapa saya dulu, selalu kena datang sekolah disebabkan cikgu laporkan anak dia terlalu nakal,” katanya.

Terdahulu, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016. Mereka kemudiannya dikurniakan cahaya mata sulung pada 2020.

Awie sebelum itu pernah berkahwin dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha. Mereka bercerai pada 1 November 2014.

Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya